nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan meminta orang ramai untuk membaca kenyataan penuhnya di Parlimen berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kelmarin.
Zulkifli berkata, orang ramai perlu bersikap bertabayyun dalam mendapatkan maklumat tepat dan merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang spekulasi terhadap sesuatu isu.
“Saya menjemput semua termasuk Ahli Parlimen dan seluruh anggota masyarakat untuk merujuk dan meneliti dengan jujur jawapan penuh bertulis di Parlimen.
“Saya menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak normalisasi LGBT kerana bercanggah dengan agama, moral dan nilai masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semalam, Zulkifli menerima kritikan daripada pengguna sosial media susulan jawapan bertulisnya di Parlimen mengenai isu tekanan kerja mungkin menjadi antara punca yang mendorong seseorang individu terbabit LGBT.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri memberikan data dan statistik terkini mengenai trend berkaitan isu LGBT di Malaysia, termasuk pecahan peratusan dan kumpulan umur yang terbabit, serta komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




