Warsaw: Ketua jurulatih Poland, Michal Probierz meletakkan jawatan susulan kontroversi yang tercetus selepas beliau menggugurkan penyerang sensasi, Robert Lewandowski sebagai kapten pasukan.
Lewandowski, 36, sebelum ini mengumumkan tidak akan lagi menyarung jersi kebangsaan selagi Probierz kekal memegang jawatan itu, dan dalam satu temubual dengan portal Poland, dia mengakui kecewa dengan cara Probierz menyampaikan keputusan yang menggantikannya dengan Piotr Zielinski.
Penyerang Barcelona itu berkata, dia hanya menerima panggilan singkat daripada Probierz ketika sedang menidurkan anak-anaknya, sebelum kenyataan rasmi mengenai pertukaran kapten dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Poland (PZPN).
“Dalam situasi semasa, saya membuat keputusan bahawa demi kepentingan pasukan kebangsaan, adalah lebih baik saya melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih,” kata Probierz dalam kenyataan rasmi.
“Memegang jawatan ini adalah impian profesional saya dan satu penghormatan terbesar dalam hidup saya.”
Probierz mengambil alih pasukan kebangsaan daripada Fernando Santos pada 2023 dan membawa Poland ke Euro 2024, namun pasukannya menjadi yang pertama tersingkir dari kejohanan itu. Kontraknya sepatutnya tamat selepas pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.
Poland kini menghuni tangga ketiga Kumpulan G dengan enam mata daripada tiga perlawanan, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu kumpulan, Finland.
“PZPN ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Michal Probierz atas kerjasama dan komitmennya membimbing skuad kebangsaan, dan mendoakan kejayaan beliau dalam kerjaya selepas ini,” kata kenyataan rasmi badan induk itu.
Lewandowski, yang memegang rekod penjaring terbanyak negara dengan 85 gol daripada 158 penampilan, tidak beraksi dalam kekalahan 1-2 kepada Finland dalam aksi kelayakan Piala Dunia, serta kemenangan 2-0 ke atas Moldova dalam aksi persahabatan.
Bekas penyerang Bayern Munich itu menjelaskan bahawa dia tidak bersama skuad kali ini kerana keletihan fizikal dan mental selepas melalui musim panjang yang memenatkan.
Poland dijadualkan berdepan Belanda pada aksi kelayakan Piala Dunia seterusnya pada 4 September ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd