Isu MARA, 3 lagi individu selesai beri keterangan – SPRM

Isu MARA, 3 lagi individu selesai beri keterangan – SPRM

KUALA LUMPUR: Tiga lagi individu selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung siasatan dakwaan salah laku dan integriti membabitkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, berkata seramai 10 lagi individu dikenal pasti, untuk dipanggil bagi memberi keterangan dalam siasatan kes itu.

“Siasatan dijangka mengambil masa dua minggu bermula minggu ini dan semua individu yang dipanggil ini membabitkan ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan MARA.

“Ini untuk kita tahu sama ada pemberian elaun seperti didakwa, mendapat kebenaran ahli lembaga pengarah atau tidak,” katanya.

Hishamuddin berkata, pihaknya juga mendapat semua dokumen diperlukan ketika serbuan ke atas Ibu Pejabat MARA dan MARA Corporation serta syarikat setiausaha korporat pada Isnin lalu.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seramai tujuh individu selesai memberi keterangan bagi siasatan kes itu.

Sabtu lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top