rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez esok, bagi menyatakan sokongan kepada negara berkenaan yang mengiktiraf Palestin.
Perdana Menteri sebelum ini sudah mengutuskan surat kepada Presiden Brazil dan Afrika Selatan bagi menyatakan dokongan sama.
“Saya tidak fikir isu ini hanya dianggap sebagai isu negara Islam atau Arab, sebaliknya kita harus memanfaatkan apabila ada hubungan positif dari negara China, Rusia dan lebih-lebih lagi Afrika, Brazil dan Sepanyol serta beberapa lagi negara lain.
“Saya juga usulkan negara Arab supaya harus merangka strategi membabitkan negara ini, tidak hanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mendapatkan sokongan secara menyeluruh,” katanya dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung malam ini.
Terdahulu, media melaporkan, Sepanyol akan mengiktiraf kewujudan negara Palestin menjelang Julai ini.
Agensi berita negara EFE dan akhbar El Pais serta La Vanguardia memetik kenyataan tidak rasmi Sanchez yang dalam perjalanan di ibu negara Jordan, Amman, yang menjadi hari pertama lawatan ke Jordan, Qatar dan Arab Saudi.
Menurut laporan itu, Sanchez berkata, beliau menjangkakan agenda itu akan berlaku, menjelang pilihan raya Parlimen Eropah pada awal Jun ini dan akan mengetengahkan perbahasan berterusan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut laporan EFE, beliau menjangkakan Sepanyol akan memberikan pengiktirafan kepada rakyat Palestin menjelang Julai, dan turut percaya tidak lama lagi akan ada ‘ramai yang kritikal’ dalam Kesatuan Eropah untuk mendorong beberapa negara anggota turut menerima pakai kedudukan yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




