Isu pekerja gig: MyGig sedia jadi wakil runding dengan pemegang taruh

Isu pekerja gig: MyGig sedia jadi wakil runding dengan pemegang taruh

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keseimbangan antara keperluan ekonomi dan keselamatan pekerja gig perlu menjadi keutamaan dalam sebarang pembangunan dasar.

Setiausaha Sekretariat Ekonomi GiG Malaysia (MyGiG), Fairuz Jamaludin berkata, pihaknya memandang serius berita kematian 12 pekerja gig di Indonesia dan Singapura, baru-baru ini yang dipercayai berpunca daripada tekanan kerja melampau.

Menurutnya, secara tidak langsung tragedi itu membuktikan kepentingan aspek kesejahteraan mental dan fizikal dalam landskap pekerjaan gig dan pihaknya juga tidak mahu peristiwa itu berlaku di Malaysia.

“Lanjutan daripada isu ini, kami di peringkat sekretariat sedia menjadi wakil kepada pihak kerajaan untuk mengadakan rundingan bersama pemegang taruh yang terbabit.

“Ini kerana sehingga hari ini, badan kawal selia khusus industri gig belum ditubuhkan secara rasmi oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataannya di sini, malam ini.

Bagaimanapun katanya, satu tindakan segera perlu diambil bagi menjamin kepentingan dan kebajikan pemain industri gig untuk sektor e-hailing dan p-hailing.

“Jika diberi mandat, kami akan mengadakan pertemuan bersama syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) dan p-hailing (PHO), pemandu e-hailing serta penghantar p-hailing.

“Kami juga akan menjemput bersama wakil rakan niaga serta pengguna bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan baik, tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

“Kami tidak mahu setiap keputusan yang diambil tidak memberi keseimbangan kepada sesetengah pihak. Kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani isu ini penting terutama membabitkan nyawa,” katanya.

Katanya, pihaknya berpandangan langkah interim dan tindakan dasar jangka pendek perlu segera dilaksanakan bagi menjamin perlindungan sosial, keselamatan pekerjaan dan kesejahteraan mental pekerja gig.

“Kita pernah mengadakan Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar dengan pelbagai isu dan permasalahan disuarakan pemain industri termasuk isu perlindungan sosial dan cadangan serta inisiatif kerajaan untuk membantu pemegang taruh terbabit.

“Di peringkat sekretariat, kami juga akan menghantar laporan rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mengambil tindakan segera dan sewajarnya,” katanya.

Fairuz berkata, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia disegerakan dan dimuktamadkan bagi memberikan punca kuasa jelas kepada kerajaan untuk menggubal dasar dan memantau pelaksanaan.

Katanya, ia juga bagi menangani isu dan permasalahan yang membabitkan keseluruhan sektor ekonomi gig di Malaysia secara menyeluruh bukan sahaja terhad kepada sektor e-hailing dan p-hailing tetapi merangkumi semua bidang pekerjaan dalam ekosistem ekonomi gig Malaysia.

“Suruhanjaya ini penting sebagai entiti rasmi yang akan memperkukuh tadbir urus industri dan menjamin kebajikan para pemainnya secara berterusan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top