KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penglibatan berterusan dengan Myanmar perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian berkaitan isu pelarian yang berlarutan selama beberapa dekad dan kini menjadi semakin kompleks.
Beliau berkata, hubungan diplomatik dan rundingan masih penting dalam usaha menangani situasi itu khususnya apabila jumlah pelarian semakin meningkat saban tahun.
“Saya percaya bagi menangani masalah di Myanmar, kita perlu terus berhubung dan berunding kerana ia sudah berlarutan selama beberapa dekad dan belum selesai… keadaan semakin buruk dan jumlah pelarian juga telah meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Hari Ikhtisas Malaysia di sini pada Selasa.
Anwar berkata, pada masa sama, isu itu tidak boleh ditangani hanya dengan mengharapkan negara tuan rumah terus menerima jumlah pelarian yang semakin meningkat tanpa berusaha mencari penyelesaian jangka panjang.
Justeru, beliau berkata, Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomatik untuk membincangkan parameter bagi menyelesaikan isu itu dengan Myanmar.
Perdana Menteri turut menolak dakwaan Malaysia hanya mengambil pendekatan untuk menghantar pulang pelarian terbabit dan menegaskan bahawa rundingan kekal menjadi teras utama dalam proses itu.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan mencari penyelesaian melalui perbincangan bersama dengan pihak berkuasa berkaitan, dan mengambil kira kebimbangan melibatkan mereka yang terjejas.
Bagaimanapun, Anwar berkata, sebarang urusan berkaitan penghantaran pulang pelarian juga perlu mengambil kira aspek perlindungan dan kemudahan yang akan disediakan kepada mereka.
Beliau berkata, keputusan berhubung perkara itu perlu dibincang dan diperhalusi antara Kerajaan Malaysia dengan pihak berkuasa Myanmar, bukannya sekadar menggesa agar pelarian dihantar pulang.
“Sekiranya mereka bersetuju untuk membawa pulang sebahagian daripada pelarian ini, sudah tentu kita perlu memastikan mereka mendapat perlindungan dan kemudahan yang sewajarnya.
“Pendirian kita ialah untuk melindungi kebajikan dan kepentingan mereka serta mengambil kira soal hak asasi manusia tetapi saya berpandangan bahawa perbuatan mengutuk kita kerana mengambil inisiatif ini adalah tidak adil… kita sedang berusaha mencari penyelesaian secara baik berhubung isu ini,” kata beliau. – Bernama



