KUALA LUMPUR – Isu pelarian Rohingya di Malaysia disifatkan sebagai ‘bom jangka’ yang boleh bertukar menjadi ‘bom nuklear’ dan mencetuskan implikasi lebih besar terhadap politik serta keselamatan negara jika terus dibiarkan tanpa penyelesaian tegas.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda – Muar) berkata, Malaysia tidak boleh terus berdepan isu itu berseorangan, sedangkan jumlah pelarian Rohingya di negara ini terus meningkat.
Malah ujarnya, negara maju yang sebelum ini berjanji membantu proses penempatan semula tidak mengambil jumlah sewajarnya.
“Malaysia walaupun saiz dan populasinya jauh lebih kecil daripada negara-negara jiran, kadar rasmi 130,000 Rohingya di Malaysia, tidak rasmi melangkaui 200,000.
“Lihat contohnya di Indonesia, (jumlah Rohingya) kurang 2,600, Thailand kurang 500 dan India kurang 20,000. Ia menunjukkan bahawa janji tidak tertunai, Malaysia akhirnya perlu serap segala masalah, tetapi diserap sekadar berseorangan, sambil yang lain kekal bahagia.
“Seperti kita sahaja yang perlu menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika berbahas pada sesi penerangan Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu Syed Saddiq menegaskan, sebelum ini Malaysia dijanjikan sebagai tempat sementara bagi proses dokumentasi pelarian sebelum dihantar ke negara maju.
Menurutnya, pendekatan membiarkan keadaan itu berterusan boleh mengukuhkan sindiket perdagangan manusia yang mengambil kesempatan terhadap pelarian.
“Kalau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak tegas bertindak, kita secara tidak langsung memberikan insentif kepada penyeludup untuk terus membawa ribuan ataupun puluhan ribu datang ke Malaysia.
“Saya cadangkan TLDM dan APMM mengambil pendekatan ‘toleransi sifar’ terhadap kemasukan pelarian secara tidak terkawal melalui laluan laut,” ujarnya.
Syed Saddiq turut mencadangkan Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mencari penyelesaian secara dwipartisan terhadap isu berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan itu penting supaya isu pelarian tidak dipolitikkan berdasarkan kepentingan parti atau pilihan raya.
“Kita perlu cari jalan tengah, di mana kita tegas bertindak sambil menunjukkan sedikit peri kemanusiaan supaya kita dapat menyelesaikan masalah ini tidak kira siapa pun yang mengambil alih kerajaan.
“Saya yakin ada kemahuan politik tetapi perlu ada keberanian politik untuk kita bertindak bersama,” ujarnya.



