Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta-merta bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dijalankan berhubung dakwaan salah laku pemilikan saham.
Gesa gantung tugas Azam Baki
Menerusi video di media sosial, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan, semakan penuh terhadap pemilikan harta Azam perlu dibuat segera bagi menentukan bagaimana beliau mampu memiliki jumlah kewangan yang besar.

Menurutnya, siasatan juga perlu merangkumi kemungkinan penglibatan Azam Baki secara langsung atau tidak langsung dalam urus niaga membabitkan MMAG Berhad dan NexG Berhad, khususnya yang melibatkan perolehan awam.
“Laporan Bloomberg itu mendedahkan satu pelanggaran, iaitu pemilikan 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat senaraian awam Velocity Capital Partners Berhad. Berdasarkan harga hari ini, 17.7 juta saham ini dianggarkan bernilai RM800,000.
“Ini telah melanggar peraturan-peraturan mengikat penjawat awam, terutamanya terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, yang secara khusus menyatakan bahawa seorang penjawat awam tidak boleh memiliki saham bernilai lebih RM100,000 dalam mana-mana syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, laporan media antarabangsa Bloomberg mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat, sekali gus menjadi pendedahan awam pertama sejak kontroversi beberapa tahun lalu yang mencetuskan desakan supaya beliau berundur.

Artikel lain: Laporan Bloomberg tak benar! SPRM nafi, tegas Azam Baki patuh isytihar harta
Rafizi menegaskan isu pemilikan saham Velocity Capital Partners Berhad bukan sekadar melibatkan pelanggaran peraturan penjawat awam, sebaliknya turut membangkitkan persoalan berkaitan urus niaga beberapa syarikat yang didakwa membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada Anwar, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Sumber: Facebook Rafizi Ramli



