Isu pencen pesara ATM: Rayuan kerajaan dibenarkan, tiada diskriminasi, pelanggaran Perlembagaan

Isu pencen pesara ATM: Rayuan kerajaan dibenarkan, tiada diskriminasi, pelanggaran Perlembagaan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini memutuskan tiada diskriminasi dan pelanggaran Perlembagaan terhadap pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung pelarasan pencen sekali gus membenarkan rayuan Kerajaan Malaysia, Majlis Angkatan Tentera dan dua lagi pihak.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Hashim Hamzah, hari ini.

Panel berkenaan turut dianggotai oleh Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim.

Wong ketika membacakan ringkasan kehakiman menekankan tindakan kerajaan dalam isu berkenaan berlandaskan perbezaan yang munasabah dan tidak menyalahi Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesamarataan.

“Perbezaan antara pesara sebelum 1 Januari 2013 (pesara pra-2013) dan selepas tarikh itu (pesara pasca-2013) adalah sah dari segi undang-undang kerana ia berpunca daripada pelaksanaan dua dokumen utama kerajaan, iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Pindaan Syarat Perkhidmatan ATM bertarikh 17 Januari 2013 (CPI) dan Surat Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JJMM).

“Kedua-dua dokumen berkenaan bukanlah pelarasan gaji untuk pesara, sebaliknya pindaan kepada syarat perkhidmatan bagi anggota ATM yang masih berkhidmat.

“Objektifnya adalah menambah baik dan menyeragamkan skim gaji anggota yang sedang berkhidmat, bukan untuk mendiskriminasikan pesara.

“Dalam kes ini, tidak ada layanan yang tidak sama antara pesara pra-2013 dengan pesara pasca-2013 kerana pelarasan pencen juga tidak diberikan kepada pesara pasca-2013,” katanya.

Hakim itu berkata terdapat pengelasan yang munasabah (intelligible differential) antara kedua-dua kategori pesara, dan ia mempunyai pertalian (nexus) yang jelas dengan objektif pelaksanaan dasar tersebut.

“Persoalan kehakiman sudah terkhilaf di sisi undang-undang apabila memutuskan wujud diskriminasi yang tidak berperlembagaan. Keputusan kerajaan adalah munasabah,” katanya.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia dan membatalkan keputusan terdahulu yang berpihak kepada kumpulan pesara.

Ketika ditemui di perkarangan mahkamah, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata pihaknya akan mengkaji dan meneliti alasan kehakiman bertulis sebelum menentukan langkah seterusnya.

“Dalam kes ini, tahap yang lebih tinggi adalah Mahkamah Persekutuan. Tapi untuk ke sana, kita perlu memfailkan dan memperoleh kebenaran untuk merayu.

“Sama ada pihaknya akan membuat rayuan atau tidak Mohamed Haniff berkata ia tertakluk kepada kajian, selidikan dan nasihat yang akan diberi berpandukan kepada alasan penghakiman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top