Isu poster Rosmah: Zahid tegur pemimpin DAP -“Kawan-kawan kita ini kurang modal ke?”

Isu poster Rosmah: Zahid tegur pemimpin DAP -“Kawan-kawan kita ini kurang modal ke?”

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur rakan dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang didakwa memainkan semula isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Isu PRU lepas sudah selesai

Memetik laporan daripada Harian Metro, Timbalan Perdana Menteri itu mempersoalkan tindakan berkenaan sambil menyifatkan isu tersebut tidak lagi wajar dijadikan bahan kempen.

“Saya ingat kawan-kawan kita ini kurang modal ke apa? Saya ingat cukuplah benda tu. Cukuplah.
“Itu isu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dulu. Dah selesai dah. Ini Johor tau. Tumpu pada Johor,” katanya pada sidang media selepas Program Sesi Libat Urus Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Johor di sini.

Semalam, Rosmah menerusi satu kenyataan mengecam tindakan Kor Ming yang didakwa menggunakan wajah serta imejnya dalam bahan kempen PRN Johor, selain menyifatkan ia sebagai propaganda murahan.

Alu-alukan kesediaan PAS jalin kerjasama

Dalam perkembangan sama, Presiden UMNO itu turut mengalu-alukan kesediaan PAS untuk menjalin kerjasama dengan BN sekiranya gabungan itu gagal memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

“Baguslah. Insya-Allah ok,” katanya ringkas.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa manifesto BN akan dilaksanakan sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRN Johor.

“Insya-Allah aku janji yang dipaparkan di dalam manifesto BN akan dilaksanakan sepenuhnya untuk penggal yang akan datang.
“Saya di peringkat nasional bersama-sama dengan kepimpinan lain akan terus memantau pencapaian dan aku janji dalam manifesto berkenaan,” katanya.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN, Friends Of BN serta pengundi bukan Melayu dan kumpulan ‘middle ground’ yang terus memberikan sokongan kepada calon-calon BN sepanjang kempen PRN Johor.

Sumber: Harian Metro (Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid)

Scroll to Top