am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Penduduk ‘turun padang’ bagi membantah aktiviti perjudian di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini baru-baru ini memberi isyarat penting kepada pelbagai pihak yang berkaitan.
Aktivis masyarakat, Michael Tay Chee Boon berkata, ia memberi isyarat bahawa masyarakat semakin rimas dengan aktiviti berkait perjudian terutamanya apabila ia berlaku di kejiranan mereka sendiri.
Katanya, beliau memahami masyarakat amat sensitif apabila wujud satu aktiviti tidak sihat di kawasan penempatan mereka apatah lagi di kawasan yang majoritinya penduduk Islam.
“Peranan pihak berkuasa semestinya paling utama. Setiap aduan yang diterima mesti diambil tindakan dengan cepat dan berkesan untuk meyakinkan penduduk.
“Selain polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga seharusnya memainkan peranan tuntas termasuk menyita premis terbabit.
“Apa yang berlaku di Kampung Datuk Sulaiman Menteri wajar dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana ia akan menjadi suatu yang ‘kurang sihat’ apabila penduduk bertindak sendiri,” katanya.
Micheal berkata, beliau juga bimbang apa yang berlaku itu mewujudkan tanggapan negatif berkaitan undang-undang negara seolah-olah ia tidak mampu membanteras aktiviti judi haram.
Menurutnya, semua harus menyedari hubungan polis dan masyarakat adalah penting kerana ia nadi kepada kestabilan sosial dan keamanan.
“Masyarakat bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tepat, sekali gus membantu mengekang aktiviti jenayah secara berkesan,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan kira-kira 20 penduduk ‘turun padang’ bagi membantah aktiviti perjudian haram di Jalan Cempaka, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini baru-baru ini dan tindakan itu tular di media sosial TikTok.
Ketua kampung merangkap pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Zain Sungib menyatakan, bantahan aman itu diadakan selepas isu aktiviti perjudian haram di perkampungan itu tiada penyelesaian.
Biarpun terdapat tindakan dilakukan pihak berkuasa namun aktiviti perjudian masih dijalankan secara bebas hingga dikhuatiri mengakibatkan lebih ramai penduduk termasuk umat Islam terjebak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




