SHAH ALAM – Kenyataan terbaharu Menteri DAP, Nga Kor Ming, berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) amat memalukan dan menyerlahkan betapa ceteknya kefahaman beliau terhadap prosedur serta tatacara pentadbiran kerajaan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, tindak-tanduk Kor Ming langsung tidak mencerminkan kredibiliti seorang menteri Kabinet, sebaliknya masih terperangkap dengan sindrom pembangkang era sebelum 2018 yang gemar mencari kesalahan.
Menurutnya, Kor Ming sepatutnya meletakkan jawatan dan kembali menjadi pembangkang sepenuh masa jika masih tidak tahu membezakan antara tugas pentadbiran kerajaan dengan pentas kempen pembangkang.
“DAP sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan sejak tahun 2018. Sangat menyedihkan apabila selepas bertahun-tahun, Nga masih gagal menyesuaikan diri dengan peranannya sebagai pembuat dasar dan lebih selesa bermain wayang serta menuding jari seperti pembangkang jalanan.
“Rakyat Malaysia sudah muak dengan menteri yang lebih gemar beretorik daripada bekerja. SPR sedang menjalankan tugas rasmi mereka berpaksikan keluhuran undang-undang.
“Jadi, buat Kor Ming, hentikan budaya meroyan di media. Kerajaan memerlukan menteri yang berfungsi, bukan menteri yang mensabotaj sistem dari dalam,” ujarnya.
Sebelum ini, Kor Ming mempersoalkan pemilihan tarikh oleh SPR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di Johor dan Negeri Sembilan, khususnya keputusan badan itu untuk mengadakannya secara berasingan.
Katanya, penjelasan SPR itu “tidak masuk akal” dan “mengarut”, serta seluruh suruhanjaya itu wajar meletakkan jawatan jika tidak mampu mengadakan pilihan raya serentak bagi dua negeri yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya berselang tiga hari.
SPR mengumumkan pilihan raya berkenaan akan diadakan dengan jarak tiga minggu, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos, berikutan kekangan logistik yang menghalangnya daripada diadakan secara serentak.
Tambah Choo Seong, mungkin Kor Ming sengaja lupa bahawa SPR secara profesional telah menjelaskan rasional logistik dan perundangan mengapa PRN Johor dan Negeri Sembilan terpaksa diadakan secara berasingan.
“Adakah seorang menteri Kabinet terlalu sibuk berpolitik sehingga malas mengkaji fakta atau sengaja memekakkan telinga demi meraih populariti murahan?
“Selain itu, sebagai sebahagian daripada kerajaan, beliau mempunyai akses penuh untuk menyuarakan ketidakpuasan hati menerusi saluran yang betul, khususnya dalam mesyuarat Kabinet mahupun saluran komunikasi rasmi antara pemimpin kerajaan.
“Tindakan melenting dan menyerang institusi bebas secara terbuka di media hanya mendedahkan kelemahan serta ketidakmatangan beliau sendiri,” katanya.



