firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski nyata memberi ‘tabik hormat’ kepada bintang sensasinya, Faisal Halim yang kini dilanda isu rumah tangga ketika pasukan negara sedang sibuk mempersiapkan diri untuk dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura malam esok dan Palestin, Isnin depan.
Jelas Cklamovski, Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey berada dalam keadaan baik dan tidak terganggu biarpun berdepan kemelut bersama isterinya yang memfailkan perceraian dan kes berkenaan di sebut di Mahkamah Rendah Syariah di Klang, semalam.
Menurutnya, pemain Selangor FC itu menunjukkan sikap profesional tinggi sepanjang berada di kem latihan apabila mempamerkan disiplin cemerlang serta komitmen luar biasa dalam setiap sesi.
“Dari sudut bola sepak, dia berada pada tahap bertaraf dunia. Dia berlatih keras, berdisiplin, menghadiri mesyuarat pasukan dan individu dengan penuh fokus. Pendekatan serta ‘mindset’ untuk sentiasa berada di tahap terbaik menjadi inspirasi buat semua,” katanya.
Cklamovski turut menegaskan isu peribadi yang dihadapi Faisal adalah urusan keluarga, namun seluruh pasukan tetap memberikan sokongan padu kepada tonggak kelahiran Pulau Pinang itu.
“Kami semua berada di belakangnya. Saya tahu Faisal adalah inspirasi buat negara, dan saya yakin dia akan terus begitu. Dari segi bola sepak, dia dalam kondisi terbaik, benar-benar bersedia untuk beraksi,” katanya.
Semalam, Arena Metro berjaya melakukan tinjauan apabila mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai yang mengesahkan Faisal berada di mahkamah petang tadi.
Menurut sumber, Faisal yang kini menjalani latihan skuad kebangsaan difahamkan meminta kebenaran Cklamovski bagi menghadiri sebutan kes itu.
Ditanya adakah Faisal akan direhatkan untuk dua aksi antarabangsa itu, Cklamovski tegaskan tonggak sayap itu sudah menjalani latihan penuh dan akan disenaraikan bagi aksi seterusnya, namun keputusan akhir hanya akan diumumkan pada hari perlawanan.
Malaysia dijadual menentang Singapura malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala aksi bertemu Palestin yang kini menghuni ranking 98 dunia pula akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin depan.
Kedua-dua aksi berkenaan dianggap penting dalam usaha memperkukuhkan pasukan yang kini dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2027, di mana aksi kelayakan akan bersambung bulan depan dengan menentang Laos.
© New Straits Times Press (M) Bhd



