KUALA LUMPUR – Maklumat berhubung perincian transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan saham bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak boleh didedahkan kepada umum kerana dilindungi di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, maklumat yang diminta itu merupakan sebahagian daripada dokumen siasatan, maklumat peribadi serta dokumen perisytiharan harta yang tidak diklasifikasikan sebagai dokumen awam.
Bagaimanapun, beliau berkata, isu membabitkan pemilikan dan perisytiharan harta, termasuk pegangan saham bekas Pesuruhjaya SPRM itu, telah diteliti secara terperinci oleh Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari 2026.
“Jawatankuasa tersebut telah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus dan profesional, dan hasil siasatan berkenaan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Petaling Jaya itu meminta Perdana Menteri menyenaraikan transaksi pembelian saham mantan Pesuruhjaya SPRM dari tahun 2012 hingga 2026, termasuk tempoh pegangan saham yang melebihi nilai RM100,000.
Mengulas lanjut, Azalina memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa memastikan semua aspek berkaitan, termasuk pemilikan saham dan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa, diperiksa serta tindakan sewajarnya diambil berdasarkan dapatan Jawatankuasa Khas Siasatan berkenaan.
Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang perkembangan atau keputusan rasmi lanjut yang wajar dimaklumkan kepada umum, pengumuman akan dibuat oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan pada 31 Mac 2026.



