am@hmetro.com.my
Kulim: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau dan kerajaan sedia berhadapan tindakan saman yang dikemukakan isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dan keluarganya.
Beliau berkata, kerajaan akan menjawab saman berkenaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Dia (Nai’mah dan keluarga) bawa ke mahkamah, jadi (kerajaan) jawab di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Badan Uniform di Kem Pasukan Gerakan Am di sini, malam ini.
Semalam, Nai’mah, dua anaknya dan peguam keluarga itu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
terhadap Anwar dan dua yang lain bagi mencabar siasatan terhadap mereka berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan.
Selain Na’imah, dua anaknya yang bertindak selaku plaintif dalam saman pemula itu ialah Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam keluarga iaitu Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Kesemua mereka menamakan Anwar, Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar berkata kerajaan tidak mahu mengulangi kesilapan pimpinan terdahulu yang menyebabkan negara mengalami kerugian besar yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat.
Berikutan itu, kerajaan terpaksa bertindak tegas kepada mana-mana pihak, walaupun sedar tindakan itu tidak popular.
“Jadi saya tidak tolak ansur dalam isu ini, tak boleh. Sebab itu kita lihat hasil meningkat dengan cepat, bayangkan ke mana kutipan kita pada 2023, 2024 dan sebahagian 2025, ke mana RM15 bilion ini.
“Sekarang kita kutip RM15 bilion dalam masa dua tahun setengah. Saya katakan ini tidak popular kerana orang yang terkesan bukan orang kecil, ramai punyai dana yang besar yang boleh mempengaruhi media antarabangsa, media sosial, orang politik dan pelbagai parti,” katanya.
Berikutan itu, beliau mengingatkan semua pihak agak berwaspada dan tidak terjebak dalam tindakan yang boleh merosakkan negara ini.
“Sebab itu saya ingatkan waspada, jangan kita terjebak dan menjadi perkakas kerana betapa pun kita berbeza pendapat, negara ini negara kita dan mesti diselamatkan daripada pengaruh, muslihat dan konspirasi asing,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM18 juta bagi kerja-kerja menaik taraf sistem perpaipan dan pendawaian Batalion Kedua PGA Kulim yang sudah usang serta menyalurkan dana RM26.9 juta untuk membaiki sekolah pondok di Kedah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




