Isu Surau Ampang: Polis tahan lelaki ingkar titah Sultan Selangor berhubung solat Jumaat, azan

Isu Surau Ampang: Polis tahan lelaki ingkar titah Sultan Selangor berhubung solat Jumaat, azan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis menahan lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ingkar perintah Sultan Selangor berkaitan solat Jumaat di Surau Taman Seraya, Ampang yang dilaporkan baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di kawasan Pandan Indah jam 3 petang, tadi.

“Dalam operasi tersebut, turut dirampas komputer riba, telefon bimbit serta dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tegasnya, siasatan dijalankan secara profesional dan telus mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa tanpa sebarang kompromi.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan serta menggugat ketenteraman awam.

“Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, jawatankuasa sebuah surau di Ampang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah pada Jumaat lalu, susulan dakwaan terdapat pihak membuat bantahan terhadap pengurusan surau berkenaan membabitkan azan, solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top