Isu tanah wakaf: Wajib daftar MAIPk, elak tuntutan kemudian hari

Isu tanah wakaf: Wajib daftar MAIPk, elak tuntutan kemudian hari

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Tanah yang diwakafkan untuk kepentingan umat Islam khususnya bagi pembinaan surau, masjid, sekolah agama, dan tanah perkuburan di negeri ini wajib didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu adalah antara kaedah bagi memastikan tidak timbul isu tuntutan tanah berkenaan oleh waris pewakaf di kemudian hari.

Menurutnya, ia yang juga disifatkan sebagai antara kaedah dalam menyelesaikan isu tanah disebabkan isu pusaka dan kematian berlapis.

“Isu tanah akan lebih besar apabila yang dituntut itu sudah didirikan dengan struktur atau bangunan. Bagaimanapun tanah yang diwakafkan bukan berkaitan agama Islam seperti balai polis atau bomba, hanya perlu didaftarkan di bawah Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

“Sebab itu sekarang kita mensyaratkan bagi masjid, surau, tanah perkuburan, dan sekolah agama yang diwakafkan hendaklah didaftarkan atas nama MAIPk.

“Kalau tidak, datuk atau moyang dia dulu lafaz untuk wakafkan tanah bagi surau, sekolah agama rakyat, masjid… maka dia lafaz namun barangkali anak, cucu dan cicit dia tak tahu kemudian mereka nak (tuntut),” katanya selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.

Kata Saarani, sebanyak 177 aduan diterima daripada penduduk sekitar daerah Kuala Kangsar menerusi siri keenam Program MESRA yang diadakan hari ini dengan sebahagian besar isu adalah berkaitan tanah.

Katanya lagi, berdasarkan pemerhatian mendapati kebiasaannya isu tanah timbul adalah disebabkan teknikal selain ketidakfahaman masyarakat tentang saluran dan prosedur yang sepatutnya dalam menyelesaikan isu berkaitan tanah.

Menurutnya, untuk itu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dirasakan perlu bertindak memainkan peranan dalam memberi pendedahan sekali gus mendidik masyarakat negeri ini berkaitan saluran dan prosedur berkenaan.

“Contoh tadi kita bincang bagaimana ada tanah yang tak selesai bicara kuasa sehingga tujuh lapis dan yang datang tadi pun ada sesetengah dari kalangan cucu atau cicit pemilik tanah, menjadikan kes itu tak boleh hendak diselesaikan memandangkan ia kena terlebih dahulu diselesaikan oleh moyang dia.

“Pegawai Daerah pun mengadu kepada saya kerana terlampau ramai. Ada beberapa tempat tanah-tanah terbiar kepunyaan ‘orang berjenama’, orang yang ada duit namun tidak berapa kisah akan tanahnya itu yang jadinya bila sampai generasi kedua dan ketiga pun tidak kisah, maka ia akan memberi kesusahan (kemudian hari).

“Jadi itu saya katakan kena didik (masyarakat), ada cadangan supaya dalam khutbah (Jumaat) pun dimasukkan supaya sesiapa yang terbabit dengan kematian maka dengan segera hendaklah menyelesaikan bicara kuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top