Isu tunggakan gaji: Bekas Ketua Jurulatih, pemain tolak tiga tawaran Kelantan TRW

Isu tunggakan gaji: Bekas Ketua Jurulatih, pemain tolak tiga tawaran Kelantan TRW

KOTA BHARU – Bekas Ketua Jurulatih dan beberapa pemain Kelantan Darul Naim (KDN) FC menolak tiga tawaran Kelantan The Real Warriors (TRW) bagi menyelesaikan isu pembayaran gaji pemain dan memberi tempoh sehingga Selasa ini.

Bekas Ketua Jurulatihnya, Rezal Zambery berkata, beberapa siri perbincangan telah dilakukan antara pihak pengurusan KDN FC untuk menyelesaikan gaji tertunggak berjumlah ratusan ribu ringgit itu sejak tiga bulan lalu.

Beliau memberitahu, tiga pilihan tawaran berkenaan ialah pembayaran 50 peratus daripada jumlah gaji bulanan, RM200 sebulan sehingga tamat semua hutang atau RM500 untuk setiap perlawanan.

“Perbincangan kami pada pagi ini (Ahad) hanya dengan wakil pihak pengurusan tanpa kehadiran individu tertinggi kelab menyebabkan tiada kata putus yang boleh dibuat dalam perbincangan berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Rezal menyifatkan tawaran itu sebagai tidak masuk akal tetapi masih bertolak ansur dan ada cadangan yang diberikan untuk dinilai pihak terbabit.

Menurutnya, seramai hampir 20 pemain dan jurulatih terlibat sudah membuat aduan rasmi kepada FAM tetapi mereka diberi tempoh untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.

“Bagaimanapun, selepas dua hari (sehingga Selasa ini) tidak akan ada lagi perbincangan kerana kita pula akan meletakkan syarat kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sekiranya tiada persetujuan, kita akan terus membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Status FAM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan layanan terhadap pemain tempatan sebagai tidak adil sedangkan mereka juga mempunyai hak untuk menuntut gaji dan berharap pihak pengurusan dapat bekerjasama.

Katanya, jika membabitkan pemain import, pihak kelab boleh membayar gaji terus kepada mereka kerana tidak mahu dikenakan sekatan perpindahan namun bertindak tidak profesional apabila membabitkan pemain tempatan sedangkan mereka bermain hingga tamat musim.

Sementara itu, bekas pemain, Faizal Talib, 28, meluahkan rasa kecewa kerana sehingga kini tidak menerima sebarang bayaran tunggakan gajinya.

Lebih menyedihkan, kata Faizal, isterinya hanya menunggu masa untuk melahirkan anak kedua mereka dan dijadualkan melaporkan diri di hospital Khamis ini.

Selain itu, Faizal turut memaklumkan ada beberapa pemain seangkatannya yang dihalau keluar daripada rumah sewa kerana gagal menjelaskan bayaran.

“Saya juga terpaksa bekerja di pasar malam dan menjadi penjual ayam bagi menampung perbelanjaan keluarga dan ibu bapa,” katanya.

Faizal berharap pihak kelab dapat memberikan sekurang-kurangnya antara RM500 hingga RM1,000 supaya dapat digunakan pada saat genting ini.

Scroll to Top