lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isuzu Malaysia memperkenalkan trak pikap D-Max serba baharu dengan enjin diesel 2.2 liter pengecas turbo bagi pasaran tempatan, dalam usaha memperkukuh daya saing dalam segmen kenderaan komersial ringan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomoyuki Yamaguchi berkata, enjin baharu itu dibangunkan sebagai penambahbaikan kepada unit 1.9 liter sebelum ini dengan fokus kepada keseimbangan prestasi dan kecekapan bahan api.
“Model terdahulu mendapat penerimaan baik dalam kalangan pengguna, khususnya dari segi ketahanan dan kos operasi, sekali gus menjadi asas kepada pembangunan varian terbaharu ini,”
” “Enjin ini menghasilkan 8.7 peratus lebih kuasa berbanding enjin 1.9 liter dengan 163 PS pada 3,600 rpm, selain peningkatan tork sebanyak 14.3 peratus kepada 400 Nm antara 1,600 rpm hingga 2,400 rpm,” katanya ketika pelancaran hari ini.
Model ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan baharu yang menawarkan penukaran gear lebih lancar dan responsif, selain meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.
Selain itu, ia turut dilengkapi sistem kawalan cengkaman bagi meningkatkan kestabilan di permukaan mencabar.
Isuzu turut memperkenalkan varian Single Cab automatik pertama di Malaysia, menyasarkan pengguna sektor perniagaan yang memerlukan kapasiti muatan dengan kemudahan pemanduan lebih baik.
Dari aspek alam sekitar, model ini mematuhi piawaian emisi Euro 5, selari dengan keperluan peratutan yang semakin menekankan pengurangan pelepasan karbon.
Barisan model D-Max 2026 ditawarkan dalam beberapa varian termasuk Premium 4×4, 4×2 Auto Plus, Standard 4×4 dan Single Cab, manakala varian X-Terrain kekal menggunakan enjin 3.0 liter.
Harga bagi model ini bermula RM103,121 bagi varian Single Cab, sehingga varian Premium 4×4 ditawarkan pada harga RM141,821 (atas jalan tanpa insurans).
Menerusi pengenalan enjin baharu dan peluasan varian, Isuzu dijangka terus bersaing dalam pasaran trak pikap tempatan yang kekal kompetitif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




