ITALI sekali lagi terlepas tiket ke pusingan akhir Piala Dunia selepas tunduk 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Bosnia dan Herzegovina pada aksi playoff, awal pagi tadi.
Kegagalan ini menyaksikan skuad Azzurri melakar sejarah hitam sebagai satu-satunya bekas juara dunia yang gagal melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu untuk tiga edisi berturut-turut (2018, 2022, 2026).
Keputusan di Stadium Bilino Polje itu ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan.
Skuad kendalian Gennaro Gattuso sebenarnya bermula dengan langkah kanan apabila penyerang berbisa, Moise Kean meletakkan Itali di hadapan seawal minit ke-15.
Berpunca daripada kesilapan hantaran penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj, bola singgah di kaki Nicolo Barella yang kemudiannya mengumpan kepada Kean untuk melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti bagi menewaskan penjaga gol lawan.
Bagaimanapun, momentum Itali terjejas apabila Alessandro Bastoni dilayangkan kad merah pada minit ke-42 selepas melakukan terjahan keras ke atas Amir Memic, sekali gus memaksa pelawat beraksi dengan 10 pemain.
Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Bosnia yang terus menggempur kubu Itali. Usaha berterusan tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-79 menerusi Haris Tabakovic yang menyambar bola muntah selepas Gianluigi Donnarumma menafikan tandukan Edin Dzeko.
Drama berlanjutan ke penentuan sepakan penalti selepas kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan.
Nasib tidak menyebelahi Itali apabila Pio Esposito merembat tinggi melepasi palang, manakala sepakan Bryan Cristante sekadar menggegarkan palang gol.
Sebaliknya, barisan pemain Bosnia tenang menyempurnakan kesemua sepakan mereka dengan Esmir Bajraktarevic menjadi wira yang meledak gol kemenangan untuk mencetuskan keraian luar biasa di Zenica.
Tangisan Spinazzola
Pemain sayap Itali, Leonardo Spinazzola tidak dapat menahan sebak ketika ditemuramah oleh stesen penyiar RAI sejurus selepas perlawanan.
“Kanak-kanak di Itali akan melihat satu lagi Piala Dunia tanpa penglibatan Itali. Saya masih tidak percaya kami tersingkir seperti ini.
“Dengan hanya 10 pemain, kami tetap berjuang sehingga ke penentuan penalti. Kami sepatutnya boleh menjaringkan tiga atau empat gol awal. Ini adalah kekecewaan yang amat besar buat semua orang,” katanya.
Kemenangan ini membawa Bosnia menyertai Kumpulan B di Piala Dunia nanti bersama tuan rumah bersama Kanada, Qatar dan Switzerland.
Ringkasan AI
- Itali gagal ke Piala Dunia selepas kalah penalti 1-4 kepada Bosnia.
- Itali menjadi bekas juara dunia pertama gagal layak tiga kali berturut-turut.
- Bosnia menang selepas Itali beraksi dengan 10 pemain apabila Bastoni terkena kad merah.
- Penentuan sepakan penalti berakhir dengan Esposito dan Cristante gagal menembusi gol.
- Bosnia akan sertai Kumpulan B Piala Dunia bersama Kanada, Qatar dan Switzerland.



