Shenzhen: Itali membuktikan mereka kini kuasa besar tenis wanita dunia apabila mempertahankan kejuaraan Piala Billie Jean King selepas menundukkan Amerika Syarikat (AS) 2-0 pada aksi final.
Kejayaan itu menghadiahkan gelaran keenam buat Itali dalam saingan berprestij berpasukan wanita, sekali gus mengekang hajat AS yang kekal dengan rekod 18 kejuaraan terakhir diraih pada 2017.
Jasmine Paolini muncul wira apabila mencatat kemenangan bersejarah 6-4, 6-2 ke atas pemain ranking ketujuh dunia, Jessica Pegula, kemenangan pertamanya dalam enam pertemuan menentang bintang AS itu.
“Ia sangat istimewa, tahun ini lebih sukar kerana kami bertemu banyak pasukan hebat. Kami tidak sangka mampu atasi AS, tetapi inilah kemenangan yang benar-benar bermakna,” kata Jasmine.
Terdahulu, Elisabetta Cocciaretto membuka laluan gemilang selepas menewaskan Emma Navarro 6-4, 6-4 dalam tempoh 89 minit, meskipun ketinggalan 2-4 pada set kedua.
“Ia perlawanan luar biasa. Saya tahu Emma pemain hebat, jadi saya perlu berikan yang terbaik. Saya bangga menyumbang mata buat Itali,” kata pemain ranking ke-91 dunia itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




