Itik salai menu wajib di Kuala Pilah

KUALA PILAH – Jika menyusuri Jalan Kuala Pilah-Seremban dekat Terachi di sini sudah pasti anda dapat melihat kepulan asap serta itik yang digantung memenuhi deretan gerai di kawasan tersebut.

Keenakan daging itik yang lebih kenyal berbanding ayam atau lembu membuat penggemarnya sanggup datang beratus kilometer semata-mata mahu mendapatkan menu itu.

Pemilik gerai Salai Si Kidal, Farah Hanis Che Hamdan, 22, berkata, menu itik salai merupakan hidangan wajib untuk dibawa pulang sekiranya berkunjung ke Kuala Pilah.

Peniaga, Nur Farah Hanis Che Hamdan menunjukkan itik salai jualannya di Jalan Kuala Pilah – Seremban, Terachi, Negeri Sembilan. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2021.

Menurut pelajar kulinari itu, terdapat dua kaedah untuk menghasilkan itik salai sama ada secara sabak atau menyalai daging tersebut di atas bara.

“Kita salai ini untuk beri aroma wangi kepada daging kerana orang dulu-dulu mana ada peti ais untuk menyimpan makanan jadi mereka guna kaedah salai.

“Bahan-bahan pun mudah sahaja iaitu gunakan kunyit dan garam kerana garam itu sebagai pengawet supaya daging tahan lebih lama dan boleh dibawa untuk perjalanan  jauh tanpa dagingnya rosak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Berkongsi lanjut, Farah Hanis berkata, selain rasanya yang enak, aroma itik salai yang unik turut menggamit para pelanggan untuk singgah ke gerainya di tepi jalan itu.

Peniaga, Nur Farah Hanis Che Hamdan sibuk menyiapkan itik salai untuk dijual kepada orang ramai di Jalan Kuala Pilah – Seremban, Terachi, Negeri Sembilan. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2021.

Ini kerana kawasan itu merupakan lokasi strategik dan menjadi laluan alternatif bagi pengguna jalan raya dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Katanya, itik yang siap disalai akan dijual antara RM25 hingga RM35 seekor bergantung kepada berat.

“Jika ramai pelanggan kita boleh jual sehingga 250 ekor dalam masa sehari. Kita jual pelbagai saiz dari satu kilogram (kg) hingga 2.5 kg ikut bajet pelanggan sama ada mereka mahu kan itik besar atau kecil.

“Saya juga pernah terima pelanggan dari luar negara iaitu Sweden dan dia beli itik salai untuk dijadikan sebagai sandwich.

“Orang dari Sarawak pun ada dan kita turut tawarkan khidmat secara pengeposan menggunakan kapal terbang kepada pelanggan di sana,” katanya yang mengusahakan perniagaan keluarganya itu sejak berumur 13 tahun lagi.

Tambah Farah Hanis lagi, selain masak lemak cili api, antara masakan berasaskan itik yang boleh disediakan seperti rendang, kari atau dicicah dengan air asam.

Manakala kaum Cina lebih gemar untuk menikmati daging itik yang dijadikan sup.

Sementara itu, pemilik gerai Cekta Itik Salai Gojes, Mashitah Pilus, 46, pula berkata, hidangan itik salai amat digemari lebih-lebih lagi apabila tiba hari lebaran.

Peniaga, Mashitah Pilus menunjukkan itik salai jualannya di Jalan Kuala Pilah – Seremban, Terachi, Negeri Sembilan. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2021.

“Tahun-tahun sudah memang ramai pelanggan dan sambutan sangat memuaskan. Seminggu sebelum raya memang orang datang berpusu-pusu untuk beli itik salai kerana itik ini boleh disimpan lama.

“Justeru menjelang hari raya, kita boleh jual sehingga ratusan ekor kerana adanya pelanggan tetap yang akan datang.

“Resipi rendang daging itik yang disukai di negeri ini hanya menggunakan bahan-bahan seperti kunyit, serai, lengkuas dan halia tanpa bawang atau pun minyak. Itulah yang menjadikannya menu istimewa,” ujarnya. – MalaysiaGazette