Penampilan pelakon jelita, Datin Intan Najuwa dalam busana kurung moden berona hijau baru-baru ini ternyata menarik perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di Instagram, rata-rata warganet memuji gaya elegan serta pemilihan warna yang menyerlahkan lagi kejelitaan pelakon berusia 26 tahun itu.
Namun di sebalik pujian yang diberikan, seorang pengguna media sosial mendakwa baju dan penampilan aktrs itu kali ini kelihatan ‘murah’.
“Nampak singlet terus nampak gaya cheap,” tulis individu berkenaan.
Sentiasa lantang memberikan teguran kepada pengikutnya di media sosial, aktres itu bagaimanapun tampil memberikan respons mengenai pakaian ‘singlet’ murah seperti yang didakwa individu terbabit merupakan set busana lengkap.
“Baju bahagian dalam tu dah sekali dengan kurung sebagai satu set,” jelasnya ringkas.
Selain itu, Intan turut menegur sekaligus ‘mengajar’ bahawa tindakan individu tersebut mengkritik dan meninggalkan komen ‘jahat’ mengenai penampilan orang lain menggunakan bahasa yang kurang sopan adalah biadap.
“Tolong jangan suka hati cakap perempuan lain nampak murah, itu sangat biadap,” tegas Intan.
Tindak balas Intan itu menerima sokongan apabila ramai yang memuji keberaniannya bersuara dan menegur komen yang dianggap melampau.
Bahkan, rata-rata bersetuju mengenai budaya meninggalkan komen negatif dan menjatuhkan maruah orang lain perlu dihentikan.