am@hmetro.com.my
Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim enggan mengulas mengenai spekulasi bahawa beliau akan digantikan dengan Datuk Seri Jalaluddin Alias selaku peneraju pentadbiran kerajaan negeri.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menegaskan bahawa sehingga kini beliau masih berkhidmat sebagai Menteri Besar dan tidak timbul isu akan berundur daripada jawatan berkenaan.
“Setakat hari ini saya masih Menteri Besar,” katanya ringkas selepas hadir Karnival Bazar Deepavali Little India, di sini, malam tadi.
Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengaitkan Jalaluddin yang juga ADUN Pertang dengan jawatan tertinggi kerajaan negeri itu.
Beliau juga turut mengelak untuk mengulas dakwaan pembangkang bahawa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dirancang pada 26 November ini mungkin ditangguhkan.
“Tak apalah, kali ini kita raikan Deepavali dulu,” katanya meminta semua pihak memberi tumpuan kepada sambutan Deepavali terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Ismail menegaskan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan RM70,000 untuk penganjuran Karnival Bazar Deepavali Little India yang merangkumi sumbangan kepada masyarakat India di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, kerajaan negeri merancang untuk membincangkan pengewartaan kawasan Little India bagi menarik pelancong.
“Perkara ini akan dibincangkan secara terperinci bersama Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seremban kerana ia kawasan tambahan kira-kira 100 hingga 400 meter daripada kawasan asal dan berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancong,” katanya.
Selain itu, Ismail berkata, kira-kira 7,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada 14 November ini, bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.
Beliau berkata pelbagai juadah yang mewakili kepelbagaian kaum dan budaya, khususnya makanan tradisional masyarakat India, akan disediakan pada majlis itu bagi membolehkan pengunjung menikmati aneka hidangan dalam suasana penuh muhibah.
“Kerajaan negeri menjemput semua rakyat Negeri Sembilan datang beramai-ramai untuk meraikan perayaan Deepavali bagi menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.
“Matlamat kita adalah memastikan setiap perayaan dapat disambut dalam suasana meriah, harmoni dan penuh kegembiraan bagi mengeratkan hubungan antara masyarakat serta memperkukuh perpaduan yang sedia terjalin,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata cadangan mewartakan kawasan Dato Lee Fong Yee sebagai Little India Seremban akan dibincangkan secara terperinci bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau berkata kawasan berkenaan, yang sebelum ini dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai Little India, berpotensi dibangunkan sebagai satu daripada kawasan tumpuan pelancongan di negeri ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




