Itu sangkaan terlampau jahat – Bung Moktar

Itu sangkaan terlampau jahat – Bung Moktar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pendakwaan bersangka jahat terhadapnya dengan menyatakan beliau mengetahui akan mendapat habuan daripada pelaburan FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad berjumlah RM150 juta.

Bung Moktar yang membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah membabitkan pelaburan itu, menegaskan beliau tidak menyalahgunakan pengaruh dan kedudukan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA untuk memastikan pelaburan terbabit diluluskan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry ketika menyoal balas Bung Moktar, dengan mencadangkan tindakan Bung Moktar itu bagi membolehkan dia dan isterinya mendapat habuan RM2.8 juta dalam bentuk wang pengenalan.

Mohamad Fadly: Adakah anda setuju jika saya katakan semua tindakan anda di luar skop dan tanpa kelulusan bertulis daripada Ahli Lembaga Pengarah (ALP)?

Bung Moktar: Saya tidak setuju.

Mohamad Fadly: Semua tindakan anda diambil untuk menjaga kepentingan anda dan isteri (Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad)?

Bung Moktar: Saya tidak setuju.

Mohamad Fadly: Semua tindakan anda jelas menunjukkan bahawa anda tahu dan sedar habuan akan diperoleh sekiranya perkara ini (pelaburan) berjaya?

Bung Moktar: Tidak betul Yang Arif. Itu sangkaan terlampau jahat.

Mohamad Fadly: Adakah anda setuju jika saya katakan bahawa anda menggunakan pengaruh dan kedudukan anda sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad untuk memastikan perkara ini diluluskan supaya RM2.8 juta itu diterima oleh anda dan isteri?

Bung Moktar: Saya tidak setuju.

Mohamad Fadly: Setuju, tanpa pembabitan aktif anda, makapelaburan ini tidak mungkin berjaya dilakukan

Bung Moktar: Tidak setuju

Bung Moktar bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How bahawa beliau tidak pernah membuat laporan kepada Ahli Lembaga PengarahFELCRA berhubung wang pengenalan RM2.8 juta yang diterima isterinya.

Beliau berkata, tiada kepentingan untuk membuat laporan berhubung perkara itu kerana kes masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Madhi Abdul Hamid menerusi isterinya Zizie Izette, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Manakala Zizie Izette turut membela diri terhadap tuduhan bersubahat berhubung perkara sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad bersambung 24 September ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top