GENERASI baharu Ivory Coast akhirnya berjaya memecahkan tembok yang gagal ditembusi barisan legenda negara itu apabila melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama.
Dua gol Nicolas Pepe membantu Ivory Coast menewaskan Curacao 2-0, sekali gus mengesahkan tempat mereka dalam kelompok 32 pasukan terbaik kejohanan.
Kejayaan itu lebih manis apabila skuad kendalian Emerse Fae mencapai sesuatu yang tidak pernah dirasai generasi terdahulu yang dibarisi nama besar seperti Didier Drogba dan Yaya Toure.
Sebelum edisi 2026, Ivory Coast pernah beraksi di pentas Piala Dunia pada 2006, 2010 dan 2014, namun gagal melepasi peringkat kumpulan.
“Kami sangat gembira dan bangga menjadi pasukan pertama Ivory Coast yang berjaya mara ke pusingan kalah mati. Semua orang bekerja keras untuk mencapainya dan kini kami menikmati hasilnya,” kata Pepe.
Penyerang Villarreal itu membuka jaringan sebelum menambah gol kedua pada babak berikutnya untuk memastikan kemenangan selesa pasukannya di Philadelphia.
Pepe percaya pencapaian bersejarah itu tidak harus menjadi noktah kepada perjalanan mereka di Amerika Utara.
“Kami tidak mahu meletakkan sebarang had. Pasukan ini memiliki potensi yang besar. Kini kami sudah berada di pusingan kalah mati dan kita akan lihat apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.
Ivory Coast menamatkan saingan Kumpulan E di tempat kedua dengan enam mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan Jerman, namun berada di belakang juara kumpulan itu berdasarkan rekod pertemuan.
Mereka memulakan kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Ecuador sebelum tewas 1-2 kepada Jerman, namun bangkit memastikan kemaraan menerusi kemenangan ke atas Curacao.
Selepas mencipta sejarah, Ivory Coast kini akan berdepan naib juara Kumpulan I, sama ada Perancis atau Norway dalam aksi pusingan 32 terbaik di Dallas, Rabu depan.
“Kami akan menikmati kejayaan ini terlebih dahulu sebelum mula memberi tumpuan kepada cabaran seterusnya.
“Tidak semuanya sempurna, tetapi kami sudah layak dan kemenangan ini pasti meningkatkan keyakinan pasukan,” kata Fae.



