lokman.khairi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Seramai 110 anak yatim dan ibu tunggal disantuni Persatuan Wanita Antarabangsa Kuala Lumpur (IWAKL) dengan sumbangan sempena IWAKL Iftar Infaq Tautan Kasih Ramadan 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mereka terdiri daripada anak yatim dan asnaf dari Rumah Amal Baitul Kasih Rawang, Maahad Tahfiz Al-Falahiyyah Shah Alam, ibu tunggal dari PPR Pangsapuri Anggerik, Ampang, serta orang kelainan upaya (OKU) dari OKU Sentral.
Presiden IWAKL, Sherrie Aljunied-Eitler, berkata pihaknya komited untuk menerajui inisiatif kebajikan di peringkat tempatan dan antarabangsa, dengan fokus menyokong kesejahteraan komuniti yang terpinggir.
“IWAKL terus menegakkan komitmen kami terhadap sokongan komuniti dan tanggungjawab sosial dengan inisiatif kebajikan terbaru kami di acara yang bersejarah ini,” katanya ketika berucap di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 90 anak yatim menerima baju raya dan cenderahati, manakala 20 ibu tunggal dan lima wakil OKU diberikan ‘bakul makanan’ berisi barang keperluan harian dan cenderahati.
Sherrie turut menyerahkan cek replika kepada tiga penerima, membabitkan Rumah Amal Baitul Kasih, Maahad Tahfiz Al-Falahiyyah dan OKU Sentral, masing-masing sebanyak RM2,000.
Penyerahan cek replika ini disaksikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nurin Aina Abdullah, dan Majlis Penasihat IWAKL, Datin Norazizah Borhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




