PETALING JAYA: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri menghidupkan kembali harapan memburu emas apabila mara ke separuh akhir acara pecut individu wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina, hari ini.
Pada aksi suku akhir di Velodrom Tagaytay City, Izzah menampilkan kayuhan dominan untuk menewaskan rakan senegara, Nur Alyssa Mohd. Farid dengan keputusan 2-0.
Pemenang gangsa edisi lalu itu mempamerkan konsistensi apabila mencatat masa 11.160 saat (s) pada perlumbaan pertama sebelum memperbaikinya dengan 11.159s dalam aksi kedua.
Kemenangan tersebut memberi sinar baharu buat kem negara yang sebelum ini hanya mengutip satu pingat perak menerusi acara pecut berpasukan wanita.
Cabaran lebih getir menanti apabila Izzah dijangka berdepan juara bertahan yang juga bekas juara dunia dari Jepun, Mina Sato pada aksi separuh akhir, esok.
Untuk rekod, Izzah meraih pingat gangsa pada edisi lalu selepas menewaskan pelumba China, Bao Shanju dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Sementara itu, kem lelaki menerima tamparan apabila Muhammad Ridwan Sahrom tersingkir seawal pusingan 1/8 selepas tewas kepada pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit.
Kekalahan itu menyaksikan Ridwan gagal memperbaiki pencapaian edisi lalu apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada abangnya, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dalam penentuan gangsa.




