Izzatul permata olahraga negara

Izzatul permata olahraga negara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sebelum ini nama pelari pecut wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira tidak begitu dikenali dalam kalangan peminat sukan olahraga kebangsaan.

Namun selepas mencipta sensasi memecah empat rekod dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 di Perlis Bawah 18 Tahun (B-18) serta meraih empat pingat emas pada minggu lalu, namanya kini kian meniti dibibir peminat olahraga negara.

Anak ketiga daripada empat beradik itu turut dinobatkan sebagai Olahragawati MSSM 2025 serta muncul atletperempuan B18 terbaik walaupun usianya baharu 17 tahun.

Terdahulu pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Terengganu itu memecah rekod kejohanan dalam acara 100 meter (m), 200m, 4x100m dan 4x400m.

Bagaimanapun bapanya, Ahmad Kamal Azira Nik akui perjalanan untuk meraih pencapaian pada tahap sekarang tidak semudah perancangan di atas kertas lebih-lebih lagi anaknya itu turut berhasrat untuk bergelar pemain badminton profesional.

Namun jelas Guru Penolong Kanan SMK Haji Abdul Rahman Limbong itu, pengorbanannya bersama isterinya, Rohana Hassan@Safiee yang kini bertugas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Besut serta guru yang menghidu bakat Izzatul bermula di bangku sekolah rendah lagi menyaksikan prestasi larian anaknya itu kian meningkat dari semasa ke semasa.

“Cikgu Mohd Lazim Ngah individu pertama yang mengesan bakat Izzatul ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot Kuala Nerus, pada waktu itu dia baharu berusia 10 tahun ketika mewakili rumah sukan.

“Selepas melangkah ke SMK Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, bakat Izzatul kian berkembang bawah bimbingan Cikgu Khairul Azman Adenan yang secara konsisten melatih Izzatul di SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu sehingga terpilih mewakili Terengganu dalam kejohanan MSSM 2022 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Pada 2023, bakat Izzatul terus berkembang selepas berjaya memecah dua rekod kebangsaan dalam acara 200m dan 200m lari berpagar bawah 15 Tahun (B-15) MSSM edisi ke-63 di Paroi, Negeri Sembilan sekali gus membawa pulang pingat emas.

Dalam acara 100m, 4x100m dan 4x400m, Izzatul juga berjaya membawa pulang tiga lagi pingat emas sekali gus dinobatkan sebagai Olahragawati MSSM 2023,” katanya kepada NSTP.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamal Azira berkata, ketika memasuki Tingkatan Empat, anaknya itu menyambung pendidikan di SMK Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Terengganu.

“Kecemerlangan Izzatul menyaksikan dia terpilih mewakili negara dalam Kejuaraan Olahraga Sekolah Asia di Dubai pada April 2024, namun tiada rezeki selepas pulang tanpa pingat.

“Sebulan kemudian, Izzatul terpilih mewakili negara dalam Kejohanan Olahraga ASEAN ke-13 di Vietnam pada Mei 2024, penyertaannya berbaloi apabila berjaya membawa pulang tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m B18 sekali gus dinobatkan sebagai Ratu Pecut Remaja Asia Tenggara pada kejohanan itu.

“Pada tahun yang sama, Izzatul terpilih mewakili Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dan berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara 4x400m serta dua pingat perak dalam acara 100m dan 200m.

“Bagaimanapun pada kejohanan MSSM 2024 di Ipoh, kecederaan ibu jari kaki memaksanya menarik diri pada saat akhir. Namun MSSM edisi ke-65 minggu lalu, Izzatul bangkit dengan memecah empat rekod lama kejohanan sekali gus namanya kian bersinar dalam kem olahraga negara,” katanya.

Pada kejohanan itu, Izzatul berjaya memecah rekod dalam acara 100m dengan catatan 11.84s sekali gus memadam rekod lama 12.02s pada tahun 2016. Bagi acara 200m pula, Izzatul melakar catatan masa 24.24s untuk memadam rekod lama kejohanan 24.79s.

Bagi acara 4X100m, kuartet Terengganu berjaya memecah rekod lama 47.65s dengan catatan masa baharu 47.45s manakala dalam acara 4x400m, kuartet Terengganu mencipta rekod baharu dengan catatan masa 3 minit 55.47s untuk memadam rekod lama

lama 3 minit 57.07s.

Selain MSSM 2025, Izzatul terpilih mewakili negara dalam Kejohanan Asia B18 di Arab Saudi pada April lalu dan Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan pada Mei lalu dengan menyarung jersi skuad senior olahraga negara dalam acara 200m dan 4x100m.

Tambah Ahmad Kamal Azira, mentaliti untuk bergelar juara sejak kecil lagi dalam apa jua perkara yang disertai antara faktor anaknya itu semakin meningkat prestasi dari semasa ke semasa.

Bagi Izzatul Musfirah, dia akui perlu lebih banyak lagi ‘berguru’ bagi memastikan misi untuk muncul Ratu Pecut Asia Tenggara menjadi kenyataan.

“Selain cemerlang dalam bidang sukan, saya juga idam untuk cemerlang dalam bidang akademik sekali gus mampu memberikan sumber inspirasi dan menjadi idola kepada atlet lain lebih-lebih lagi pada tahun ini saya akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya yang meraih 9A dalam ujian percubaan SPM baru-baru ini.

Sementara itu jurulatihnya, Khairul Azman berkata, disiplin dalam setiap latihan dan sentiasa mendengar arahan daripada jurulatih adalah kunci utama peningkatan prestasi atlet itu.

“Pada masa sama saya juga menerapkan elemen sains sukan sejak daripada awal mendidik dan melatih Izzatul, lagipun dia sangat nekad dan berazam tinggi untuk capai kejayaan tertinggi, jadual harian yang ketat tidak menghalangnya untuk berjaya.

“Sokongan ibu bapa yang sangat memahami amat membantu proses kejayaan ini, saya yakin pelajar ini mampu melangkah lebih jauh lagi dalam bidang olahraga dan juga akademik,” katanya yang mengesan bakat Izzatul melalui projek AMN (Anjakan Muafakat Nekad) Dream Team yang diilhamkan oleh bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Datuk Abdul Muie Ngah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top