Penyanyi Izzue Islam dan pempengaruh Dehaniff tampil memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi lagu raya duet berjudul Dulu Kini Raya yang menggabungkan elemen nostalgia dengan sentuhan moden untuk menarik perhatian pendengar pelbagai generasi.
Kemunculan lagu tersebut menambah kemeriahan musim perayaan apabila semakin ramai penyanyi tempatan memperkenalkan karya raya dengan gaya dan identiti tersendiri.
Izzue dan Dehaniff turut mengambil peluang itu untuk menghadiahkan sebuah lagu yang mengangkat kenangan sambutan Aidilfitri, tetapi dipersembahkan dalam gaya yang lebih segar.

Menurut Izzue atau nama penuhnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, lagu tersebut mempunyai nilai sentimental kerana mengingatkan kenangan beraya ketika zaman kanak-kanak dan remaja.
“Bila dengar lagu ini, ada rasa nostalgia seperti suasana raya yang pernah kita alami dulu. Pada masa sama, muziknya disusun dengan sentuhan moden supaya generasi hari ini juga boleh menikmatinya. Gabungan itu menjadikan lagu ini terasa klasik tetapi masih segar,” katanya.
Mengulas mengenai kemunculan banyak lagu raya baharu yang kadangkala dianggap sebagai ‘perang lagu raya’, Izzue melihat situasi tersebut sebagai sesuatu yang positif untuk industri muzik tempatan.
“Bagi saya, lebih banyak lagu raya sebenarnya membuatkan suasana Aidilfitri bertambah meriah. Saya tidak melihatnya sebagai persaingan semata-mata, sebaliknya sebagai usaha bersama rakan artis untuk menceriakan sambutan raya.
“Setiap lagu pasti ada peminatnya sendiri dan saya berharap Dulu Kini Raya juga akan menjadi antara lagu yang dimainkan orang ramai ketika memandu atau berkumpul bersama keluarga,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Izzue mengakui kerjasama bersama Dehaniff memberikan keserasian yang baik sepanjang proses rakaman dan pembikinan video muzik.

“Dehaniff mempunyai tenaga yang sesuai dengan konsep lagu ini. Apabila kami bekerjasama, keserasian itu terasa sangat natural. Sebab itu saya yakin gabungan suara kami dapat menjadikan lagu ini lebih hidup,” katanya.
Proses penggambaran video muzik pula disifatkan sebagai pengalaman menyeronokkan walaupun memerlukan komitmen tenaga yang besar daripada seluruh pasukan produksi.
“Ada banyak momen kelakar dan agak chaos sepanjang penggambaran. Dari lokasi, kostum hingga ke babak-babak besar, semuanya memerlukan usaha yang serius. Walaupun penat, pengalaman bekerja bersama kru yang begitu komited memang sangat berbaloi,” katanya.
Difahamkan, video muzik Dulu Kini Raya turut melibatkan kos produksi yang agak tinggi dengan beberapa elemen unik di set penggambaran, termasuk penggunaan lembu yang dibawa dari Melaka serta kren skylift sebagai prop.
“Memang ada idea yang agak luar biasa ketika menghasilkan video muzik ini. Namun bagi kami, jika mahu melakukan sesuatu projek, biarlah dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
“Kami mahu memberikan pengalaman visual yang berbeza daripada video muzik raya biasa. Walaupun mencabar dan menelan kos besar, yang penting kami mahu penonton mengingatinya,” katanya.

Izzue turut berharap lagu tersebut mampu menjadi antara lagu raya yang sering dimainkan setiap kali menjelang Aidilfitri.
“Jika lagu ini boleh membuatkan orang tersenyum, mengingatkan mereka kepada kenangan raya atau menambah kemeriahan suasana perayaan, itu sudah cukup bermakna bagi saya,” katanya.
Sementara itu, Dehaniff menyifatkan Izzue sebagai rakan duet yang mudah bekerjasama dan komited dalam setiap proses kerja. Dia juga percaya lagu tersebut mampu menarik perhatian pendengar daripada pelbagai lapisan umur.
“Lagu ini menggabungkan beberapa elemen muzik yang membuatkan ia mudah diterima oleh semua orang. Apabila mendengarnya, ia memberikan rasa gembira yang sesuai dengan suasana raya,” katanya.
Dehaniff turut mengakui berasa teruja ketika merakam lagu tersebut dan yakin kelainan yang dibawakan mampu memikat hati pendengar.
“Ketika proses rakaman, saya tidak terlalu gementar kerana lebih rasa teruja. Dengan konsep yang kami tampilkan, saya percaya lagu ini ada potensi untuk diterima baik oleh pendengar,” katanya.
Tambahnya lagi, video muzik yang dihasilkan juga menjadi antara kekuatan utama karya tersebut.
“Video muziknya memang sesuatu yang menarik untuk ditonton. Saya harap Dulu Kini Raya bukan sahaja menjadi kegemaran ketika musim raya tahun ini, malah terus diingati dan dinikmati pada masa akan datang,” katanya.




