hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyediaan Pas Lawatan Kerja Sementara elektronik (e-PLKS) dan laporan polis palsu menerusi Ops Serkap di kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin, semalam.
Operasi bersepadu bermula 12.50 tengah hari itu disertai sepasukan 40 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Mereka melaksanakan serbuan serentak ke atas 11 premis di lokasi berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, menerusi serbuan itu, 11 warganegara Bangladesh yang bertindak sebagai dalang sindiket berjaya ditahan.
“Mereka terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 23 hingga 48 tahun.Siasatan awal mendapati premis-premis berkenaan dipercayai menawarkan perkhidmatan menyediakan e-PLKS yang disyaki palsu dengan bayaran kira-kira RM150 bagi setiap dokumen, manakala laporan polis yang disyaki palsu ditawarkan pada kadar kira-kira RM70 setiap satu.
“Dokumen-dokumen berkenaan dipercayai digunakan bagi mengaburi pihak kedutaan dalam urusan permohonan pasport antarabangsa Bangladesh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan serbuan itu, Zakaria berkata, pihaknya menyita pelbagai peralatan elektronik termasuk 18 unit komputer riba, 21 unit pencetak dan pengimbas, serta tiga telefon pintar.
“Turut dirampas,10 pasport antarabangsa Bangladesh bersama beberapa cetakan e-PLKS dan laporan polis yang disyaki palsu,” katanya.
Dalam pada itu, pemeriksaan susulan di sekitar lokasi operasi turut membawa kepada penahanan 19 lagi warga asing, atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, tangkapan kedua membabitkan 15 lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, seorang wanita Myanmar, serta dua wanita Indonesia.
“Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi dan melanggar undang-undang negara,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
