Jabatan Pendakwaan Syarie akan diwujudkan

Jabatan Pendakwaan Syarie akan diwujudkan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus memperkasakan perundangan syariah dalam negara dengan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti dan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ia merupakan inisiatif yang sedang digerakkan kerajaan, selain meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

“Sebenarnya pemerkasaan perundangan syariah ini telahpun dilaksanakan dan ia berlaku begitu teratur dan sistematik mungkin buat pertama kalinya kerajaan mempunyai courage (keberanian) untuk melaksanakan usaha-usaha tersebut, bertindak menyeluruh.

“Bukan sahaja RUU355, kita juga akan membawa RUU lain iaitu RUU Mufti juga pindaan kepada RUU Akta 505 dan ada beberapa yang lain.

“Dan sekarang kita usahakan untuk menubuhkan JPSM yang sedang dalam perbincangan, ia dipengerusilan saya melalui mandat yang diberikan menteri. Moga ia dapat dihasilkan,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu, beliau mengadakan Program Bersama NGO-NGO Wanita di Kompleks Islam Putrajaya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) masih berjalan.

“Berkenaan dengan RUU355, perbincangan itu diteruskan malah di bawah pengetahuan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan juga Majlis Raja-Raja,” tambahnya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri terlebih dulu mengenai cadangan membentangkan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, cadangan Rang Undang-Undang 355 ini akan dibawa semula pada Kabinet untuk dapat keputusan dasar sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette