PETALING JAYA : Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama penuh berhubung laporan serta rumusan panel siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkaitan insiden dakwaan provokasi prospek di Penjara Taiping tahun lalu.
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius setiap dapatan, syor dan perkara dibangkitkan dalam laporan berkenaan termasuk dakwaan yang mengaitkan aspek pengurusan serta petugas penjara dalam kejadian terbabit.
“Justeru, Jabatan Penjara Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak-pihak berkaitan bagi meneliti laporan berkenaan secara menyeluruh, terperinci dan berintegriti demi memastikan setiap perkara dibangkitkan itu dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Jabatan ini sentiasa komited memastikan aspek keselamatan, kebajikan, pemulihan dan pematuhan terhadap hak asasi manusia dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan serta standard pengurusan penjara yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Jabatan Penjara turut meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan pramatang yang boleh menjejaskan proses penelitian dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
Pada Isnin lalu, media melaporkan Panel Inkuiri Awam Suhakam dalam keputusan akhir inkuiri berhubung rusuhan di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025 yang menyebabkan kematian seorang tahanan warga emas, mencadangkan Penjara Taiping dijadikan muzium kerana tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara. – UTUSAN




