Sekinchan: Jabatan Perikanan Selangor menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dan merampas 20 guni benih kerang bernilai RM 15,000 yang dikutip secara haram jam 4 petang semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, operasi itu melibatkan tiga kakitangan Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam dan lima anggota Cawangan Perlindungan Sumber Pelabuhan Klang.
Beliau berkata, sebuah kereta Proton Wira bersama enam tangguk tangan dan satu penyukat anak kerang turut dirampas di kawasan Pantai Sungai Leman.
“Hasil pemeriksaan menemui 10 guni anak kerang yang disimpan di dalam tempat penyimpanan kereta (bonet) dan 10 guni lagi ditemui berhampiran kenderaan terbabit.
“Kita percaya 20 guni (anak kerang) ini dianggarkan bernilai RM 15,000 dan ia belum capai saiz benih kerang lebih mahal harganya. Anak kerang ini belum melalui proses sisihan, jadi nilainya tidak begitu tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya anak kerang berkenaan akan dibawa ke tempat lain untuk dibesarkan sebelum dibawa keluar dari Malaysia.
Menurutnya, nilai benih kerang, kenderaan dan peralatan mengutip benih kerang dalam kes itu dianggarkan RM 20,000.
Katanya, lelaki itu disiasat Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2003 Akta Perikanan 1985 dan semua barang rampasan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor dan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Selangor untuk tindakan selanjutnya.
Justeru, Abdul Rahman berkata, pihaknya berusaha untuk membanteras kegiatan terbabit dan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Sementara itu, semalam tular di media sosial video dirakam Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung kegiatan pengutipan anak kerang semulajadi oleh individu tidak bertanggungjawab.
Rakaman berdurasi 32 saat itu menunjukkan beberapa individu menaiki bot sambil mengutip anak kerang di Kampung Sungai Leman, Sekinchan.
Dakwanya, anak kerang itu dipercayai dijual ke Thailand.
“Sedih saya melihat keadaan ini. Hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Macam mana nelayan kampung nak cari makan?
“Kegiatan haram mengambil anak kerang oleh orang luar di kampung saya. Kita nak makan kerang, harga terlalu mahal,” katanya.
ZA137 Malay News
National Desk