Paris: Pemain pilihan kelapan, Ons Jabeur terus mencipta sensasi dalam misi memburu gelaran Grand Slam sebagai pemain tenis wanita pertama berketurunan Arab-Afrika memenanginya.
Jabeur yang juga pemain kelahiran Tunisia itu berjaya mara ke pusingan keempat Terbuka Perancis selepas menewaskan pesaing dari Kanada, Leylah Fernandez 6-4 7-6(5).
Selepas aksi itu, Jabeur bukan mudah mengatasi Leylah yang beraksi cukup bertenaga sepanjang perlawanan.
“Semua orang mengenali Leylah, dia bermain dengan sangat baik. Dia seorang pemain yang sangat agresif,” kata Jabeur.
“Saya tahu bahawa saya perlu menamatkan perlawanan sebelum set ketiga dan saya memenangi beberapa mata pada saat yang tepat.
“Ia agak sukar dalam servis tetapi saya sangat gembira untuk menang,” katanya yang berpeluang mara lebih jauh di kejohanan itu.
Untuk rekod, Jabeur pernah mara sebanyak dua kali ke pentas final dan hampir meraih gelaran Grand Slam namun terpaksa akur apabila tunduk di aksi kemuncak.
© New Straits Times Press (M) Bhd



