Miami: Bintang muda F1 dari Australia, Jack Doohan, yang baru sahaja digugurkan daripada pasukan Alpine, mendedahkan dia terpaksa mengupah pengawal keselamatan 24 jam ketika Grand Prix Miami baru-baru ini selepas menerima ancaman keselamatan serius.
Doohan, 22, anak kepada legenda MotoGP lima kali, Mick Doohan, memaklumkan bahawa dia dan keluarganya berdepan ugutan dalam talian selepas digantikan oleh pelumba dari Argentina, Franco Colapinto, hanya selepas enam perlumbaan musim ini.
Jurufoto F1 terkemuka, Kym Illman, mengesahkan situasi mencemaskan itu melalui Instagram.
“Jack menerima pelbagai bentuk ancaman dalam talian… sehinggakan dia terpaksa menggunakan khidmat keselamatan peribadi sepanjang masa ketika di Miami dan merancang untuk berbuat demikian di Grand Prix Brazil juga.
“Daripada semua pelumba, biasanya hanya Lewis Hamilton, Charles Leclerc, Lando Norris dan Oscar Piastri yang mempunyai pengawal keselamatan tetap. Tapi jelas sekali bagi sesiapa yang rapat dengan Jack, ancaman itu memberi kesan besar kepadanya,” katanya.
Menurut laporan, maklumat peribadi Doohan seperti alamat e-mel diceroboh dan digunakan untuk menghantar ugutan.
Ia turut menjejaskan keselamatan teman wanitanya, Ebony Zippora Gold, serta bapanya Mick Doohan yang turut berada di Miami.
“Ancaman ini menyebabkan Jack tidak boleh tidur dan menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ahli keluarga.
“Saya pasti Franco tidak menyokong kelakuan keterlaluan oleh segelintir peminatnya,” jelas Illman lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd