Pelakon Rebecca Nur Al Islam membuka mulut mengenai kisah rumah tangganya bersama Datuk Nur Azman Sulaiman yang sudah berakhir selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga.
Rebecca mengakui tidak menyangka hubungan yang dibina selama ini berakhir dengan perpisahan, namun memilih untuk tidak mendedahkan punca sebenar demi menjaga maruah kedua-dua pihak.
“Terus terang, saya sendiri tak sangka sampai ke tahap ini. Mungkin ini takdir Allah dan tiada jodoh antara kami.
“Saya rasa tak perlu cerita puncanya kerana ia hanya akan membuka aib saya dan bekas suami. Biarlah perkara yang boleh ditutup, kita tutup saja. Hidup ni sekejap, saya reda dengan apa yang Allah sudah tetapkan walaupun tak dijangka,” katanya kepada XTRA.
Rebecca ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Amber, Oasis 2.0 – Mirage: A Secret by The Desert, di butik Amber Flagship, Shangri-La Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Rebecca, kehadiran ke acara itu merupakan langkah awal untuk dirinya kembali bergaul setelah sekian lama menyepi.
“Ini baru hari kedua saya keluar rumah selepas apa yang berlaku. Hari pertama pun saya hanya pergi majlis resepsi Fattah Amin dan Amira Othman,” katanya.
Apabila ditanya mengenai khabar angin yang mengaitkan perpisahan itu dengan kehadiran orang ketiga, Rebecca memilih untuk tidak memberikan sebarang komen.
“Saya tak nak ulas tentang itu,” katanya ringkas sambil menzahirkan hasrat untuk menutup kisah lamanya dengan tenang.
Kini sebagai ibu tunggal kepada tujuh orang anak, Rebecca tidak menafikan fasa selepas perpisahan memberi kesan besar kepadanya. Namun, dia berusaha mencari kekuatan untuk bangkit semula.
“Secara jujur, saya masih dalam proses memulihkan diri. Saya baru mula keluar dan berjumpa orang selepas lama menyendiri. Sebelum ini saya banyak habiskan masa mendekatkan diri dengan Allah.
“Tapi bila difikirkan semula, saya masih diberi peluang hidup, jadi kenapa tak teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Menurutnya lagi, anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.
“Saya kena kuat demi anak-anak. Mereka sumber semangat saya untuk terus melangkah ke depan. Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah tersendiri,” ujarnya.
Sebelum ini, Rebecca menimbulkan tanda tanya apabila menukar bio Instagramnya kepada “Single Mother of 7” (ibu tunggal kepada tujuh anak). Dalam satu hantaran lain, dia turut menulis mesej penuh emosi yang seolah-olah menggambarkan pengakhiran rumah tangganya.
“Sudah 18 tahun kita bersama. Semoga Allah kurniakan kesihatan dan rezeki yang baik untuk kamu. Terima kasih atas segala kenangan selama ini. Kita dah cuba sedaya upaya, tapi Allah adalah sebaik-baik perancang,” tulisnya.
Untuk rekod, Rebecca dan Datuk Nur Azman berkahwin pada 14 Januari 2011 dan dikurniakan enam anak kandung serta seorang anak angkat, Nor Adam Daniel, yang kini berusia 16 tahun.




