Jadi kerajaan atau tidak, syukuri nikmat, dambakan keamanan

Jadi kerajaan atau tidak, syukuri nikmat, dambakan keamanan

DALAM tazkirah ringkas sebelum berbuka puasa semalam (Rabu, 12 April 2023) di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, saya bacakan 4 ayat al-Quran: 2 ayat yang hampir sama nasnya dari surah berbeza dalam konteks berbeza dan orang yang berbeza. 2 ayat lain pula yang hampir sama bunyinya daripada orang yang sama, di tempat yang sama tetapi konteks dan suasana sedikit berbeza.

Advertisement

Allah berpesan kepada manusia agar berbuat baik kepada ibubapanya, ibu yang susah-payah mengandungkannya dan menyusukannya, hinggalah apabila dia berumur 40 tahun, dia berdoa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Wahai Tuhanku! Ihamkan kepadaku supaya mensyukuri nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai, dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku termasuk dari kalangan orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”. (Al-Ahqaf: 15)

Allah berikan kerajaan kepada Nabi Sulaiman as. Baginda menguasai manusia, jin, syaitan, dan memahami bahasa binatang. Nikmat ini diulas dalam doa Nabi Sulaiman apabila mendengar kata-kata semut:
“رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Ya Tuhanku! Anugerahkanlah kepadaku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku beramal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.” (An-Naml: 19)

Dalam 2 ayat ini diingatkan agar mensyukuri nikmat, beramal soleh, mengelokkan zuriat, bertaubat kepada Allah. Ia ditujukan kepada mereka yang sudah berumur 40 tahun, yang menunjukkan kematangan dalam hidup. Ia juga ditujukan kepada mereka yang berkuasa dan menjadi kerajaan agar sentiasa mengingati perkara-perkara di atas.

Saidina Ali berkata: Ayat 15 surah Al-Ahqaf turun mengenai Abu Bakar as-Siddiq ra. Ibubapanya masuk Islam. Kaum muhajirin lain, tiada ibubapa mereka yang masuk Islam serentak seperti Abu Bakar. Lalu Allah berkesan kepadanya seperti di dalam ayat itu.

Dalam satu hadis, Nabi SAW bertanya: ‘Siapa di antara kamu yang berpuasa pagi ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya’. Nabi bertanya: ‘Siapa yang ikut jenazah hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya’. Nabi bertanya: ‘Siapa yang beri makan kepada orang miskin hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya’. Nabi bertanya: ‘Siapa yang ziarah orang sakit hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak berhimpun semua perkara tadi kepada seseorang melainkan dia masuk syurga.’

Ini menunjukkan Abu Bakar as-Siddiq ra bukan sahaja beribadat secara fardi atau bersendirian. Dia juga ada ibadat ijtimaie iaitu ibadat yang melibatkan orang lain- pesakit, jenazah, orang miskin.

Dan inilah yang saya pesan di dalam tazkirah tersebut yang melibatkan semua ‘orang besar’ dalam kerajaan negeri agar Terengganu ini terus maju, berkat, sejahtera di bawah kepimpinan YAB MB sekarang.

Nabi Ibrahim as berdoa ketika membina Kaabah bersama anaknya Ismail:
وَاِذْ قَالَ اِبْرٰهٖمُ رَبِّ اجْعَلْ هٰذَا بَلَدًا اٰمِنًا وَّارْزُقْ اَهْلَهٗ مِنَ الثَّمَرٰتِ مَنْ اٰمَنَ مِنْهُمْ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِۗ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika brahim berdoa: “Ya Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini negeri yang aman dan berilah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya, iaitu di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari kemudian,” (Al-Baqarah: 126)

Dalam ayat lain, Baginda berdoa:
وَاِذْ قَالَ اِبْرٰهِيْمُ رَبِّ اجْعَلْ هٰذَا الْبَلَدَ اٰمِنًا وَّاجْنُبْنِيْ وَبَنِيَّ اَنْ نَّعْبُدَ الْاَصْنَامَ ۗ
Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa, “Ya Tuhan! Jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku agar tidak menyembah berhala.” (Ibrahim: 35)

Sekali lalu, ayatnya sama. Bezanya ialah dalam ayat pertama disebut ‘baladan’ negeri dalam bentuk nakirah atau umum, sedangkan ayat dalam surah Ibrahim disebut ‘albalad’ secara spesifik.

Ada sarjana Islam berpendapat, ayat pertama adalah doa Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah sebelum Mekah menjadi sebuah negeri. Ayat kedua ialah doa Baginda selepas Mekah telah menjadi negeri yang dikenali.

Yang penting, mereka yang menjaga, mengurus, mentadbir negeri punya minda mahukan keamanan berpanjangan, sama ada sebelum memerintah atau selepas memerintah, samada ‘dapat’ negeri atau tidak. Bukannya menyerahkan kedaulatan, kehormatan dan tanah negeri itu kepada orang lain.

Semoga Terengganu terus maju, berkat, sejahtera. Selamat berbuka puasa. – HARAKAHDAILY 13/4/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Scroll to Top