Jadi penghuni PPS setiap kali musim tengkujuh sejak 8 tahun lalu

Jadi penghuni PPS setiap kali musim tengkujuh sejak 8 tahun lalu

am@hmetro.com.my

Marang: Kawasan sawah menjadi penyelamat setiap kali tiba musim tengkujuh namun kini tidak lagi apabila ia digantikan dengan pembinaan rumah dan menyebabkan penduduk terdedah dengan kejadian banjir.

Jeffrey Ibrahim, 47, dari Kampung Alor Limbat, dekat sini berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh sejak lapan tahun lalu, dia akan menjadi ‘penghuni’ di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dia mendakwa, sawah padi yang dahulunya menjadi kolam tadahan semula jadi kini sudah mengecil sehingga memudahkan limpahan air ke rumah penduduk.

“Selain itu, pembinaan rumah baharu menyebabkan tanah ditimbus lebih tinggi sehingga mengakibatkan laluan air hujan bertakung.

“Banjir yang kami hadapi ini bukan daripada limpahan sungai tetapi lebih kepada masalah perparitan hingga mengakibatkan kami terpaksa berpindah ke PPS apabila air memenuhi pekarangan rumah.

“Biasanya, saya akan berpindah tidak kurang dua kali ke PPS setiap kali banjir berikutan air hujan bertakung di pekarangan rumah sedalam 0.5 meter,” katanya ketika ditemui di PPS SK Simpang Rawai, dekat sini.

Jirannya, Mazini Abd Ghasid, 54, berkata, dia turut berdepan situasi sama dan lebih parah air memenuhi di dalam rumahnya sedalam 0.5 hingga satu meter apabila berlakunya banjir.

“Kedudukan rumah di kawasan rendah kerana terkepung dengan rumah-rumah baru yang dibina di tapak yang ditimbus lebih tinggi mengakibatkan air tidak dapat ke mana-mana.

“Suka atau tidak saya terpaksa berpindah kerana di dalam rumah dipenuhi air dan sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa kepada banjir, saya akan berpindah tidak kurang dua kali,” katanya yang turut memaklumkan ia menjadi rutin mereka sejak lapan tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top