rnoraina@hmetro.com.my
Kajang: Pemilik dan pemandu lori bertindak samseng dengan merosakkan kenderaan sendiri dipercayai sebagai protes apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Bukan itu saja, tauke lori turut mematikan Sistem Pengesanan Global (GPS) kenderaan, selain mengugut anggota penguat kuasa dan mekanik yang datang untuk membaiki kerosakan.
Taktik itu dikesan dilakukan oleh pemilik kenderaan pengangkutan yang ditahan kerana kesalahan membawa muatan melebihi had, semata-mata bagi mengelak kenderaan dibawa ke pusat penimbang JPJ.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kes berlaku pada 12 April lalu semasa pasukannya menahan dua lori yang membawa muatan pasir berlebihan di Persiaran Perdana Putrajaya di sini, untuk diambil tindakan.
Katanya, operasi yang dijalankan JPJ dengan kerjasama pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya mengekori dua lori itu, dipercayai dalam perjalanan dari kuari di Dengkil menghala ke kawasan pembinaan di Kajang.
“Semasa ditahan, seorang lelaki yang juga pemilik lori menaiki Toyota Vellfire datang ke lokasi dan mereka bertindak agresif dengan mematikan enjin dan GPS serta memecahkan tayar belakang kenderaan.
“Mereka turut mengugut dan mengancam mekanik yang dipanggil oleh JPJ untuk tidak membaiki kerosakan bagi menghalang kenderaan itu dibawa ke stesen penimbangan.
“Kita (JPJ) terpaksa bermalam tiga hari di lokasi sebelum kenderaan dapat dibaiki dan dihantar ke IPD Putrajaya untuk siasatan sebelum dibawa ke stesen,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan dan Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.
Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, pihaknya membuat tiga laporan polis berhubung kejadian itu dan ketiga-tiga suspek berusia 40-an ditahan polis untuk siasatan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melarikan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang disita JPJ serta mengugut mekanik.
Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis dan pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut Subseksyen 234(c) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Subseksyen 57(3) akta sama.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya turut berdepan ancaman daripada lapan individu dipercayai ‘tonto’ atau samseng upahan yang mengepung pegawai penguat kuasa semasa operasi di Rawang, baru-baru ini.
“Semasa kejadian, pemandu bertindak memandu untuk melarikan diri dan membuang muatan batu di atas jalan raya, menyebabkan halangan kepada pengguna lain. Namun tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
Katanya, satu lagi kejadian di Gombak yang mana seorang pemandu lori warga asing tiada dokumen perjalanan sah turut ditahan selepas didapati memandu tanpa lesen dan membawa minuman keras secara haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd