Kemajuan teknologi digital pada abad ke-21 mengubah landskap kehidupan manusia secara menyeluruh. Dunia hari ini bergerak pantas dengan pelbagai ciptaan dan aplikasi yang menjadikan maklumat hanya di hujung jari. Dalam dunia Islam, realiti ini membuka ruang yang amat luas untuk menyampaikan mesej dakwah, memperkukuh ilmu serta menyatukan umat.
Namun, kemajuan yang hadir ini tidak datang tanpa tanggungjawab. Seorang Muslim perlu memahami bahawa teknologi adalah anugerah dan juga amanah. Ia boleh menjadi alat yang mengangkat martabat agama dan umat jika digunakan dengan hikmah. Sebaliknya, menjadi sebab kejatuhan moral dan pegangan andai disalah guna. Maka, timbul persoalan penting – bagaimana kita sebagai umat Islam menggunakan teknologi digital secara bijak demi agama?
Islam adalah agama yang tidak menolak kemajuan dan teknologi. Malah, Islam mengiktiraf ilmu sebagai asas kepada tamadun yang kukuh. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?'” (Surah az-Zumar ayat 9)
Ayat ini membuktikan Islam menjunjung tinggi ilmu pengetahuan termasuk ilmu sains, teknologi dan maklumat. Teknologi sebahagian daripada ilmu yang berkembang hasil daripada pencarian dan ciptaan manusia dengan izin Allah. Maka, umat Islam perlu menjadi pelopor dalam menggunakan teknologi untuk manfaat dunia dan akhirat.
Sejarah Islam membuktikan Nabi Muhammad SAW sendiri menggunakan segala bentuk kemudahan dan teknologi pada zamannya untuk menyampaikan risalah Islam. Baginda menulis surat kepada pemerintah dunia ketika itu menggunakan sistem penulisan rasmi yang rapi dan dihantar oleh utusan tertentu seperti yang dilakukan kepada Raja Heraklius di Rom serta Kisra di Parsi. Dalam aspek ketenteraan pula, Rasulullah menerima cadangan strategik seperti menggali parit dalam Perang Khandaq, iaitu satu bentuk teknologi ketenteraan baharu yang belum pernah digunakan oleh bangsa Arab ketika itu. Ini menunjukkan Islam tidak memusuhi teknologi, bahkan menggalakkannya selama ia selari dengan prinsip syarak.
Ulama dan pendakwah masa kini berjaya menyampaikan ilmu kepada ribuan atau jutaan pendengar melalui satu rakaman ceramah sahaja. Bahkan, generasi muda hari ini lebih mudah tertarik dengan penyampaian yang kreatif melalui video pendek, animasi atau infografik Islamik yang tersebar di platform seperti Instagram, TikTok dan Telegram. Ini adalah bukti jika teknologi dimanfaatkan dengan baik, ia menjadi alat dakwah yang sangat berkesan.
Dalam dunia digital, akhlak mulia perlu terus dipelihara sama ada dalam menulis di media sosial, memberikan komen atau berkongsi maklumat. Umat Islam perlu menjauhkan diri daripada menyebarkan berita palsu, mencaci maki, mendedahkan aib orang lain atau menggunakan teknologi untuk maksiat dan hiburan yang melalaikan. Akhlak yang baik dalam dunia digital mencerminkan keimanan seseorang dan menjadikan teknologi sebagai medan pahala, bukan dosa.
Allah SWT turut mengingatkan bahawa setiap alat yang dikurniakan kepada manusia akan dipertanggungjawabkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’ ayat 36)
Maka, segala aktiviti dalam talian mesti diikat dengan nilai takwa dan rasa tanggungjawab.
Pada masa yang sama, teknologi digital juga membuka ruang untuk pengurusan hal ehwal Islam secara lebih efisien. Bahkan, kecerdasan buatan (AI) juga sedang dibangunkan oleh pakar Muslim untuk menjawab pertanyaan agama berdasarkan dalil al-Quran dan hadis secara automatik. Semua ini menunjukkan teknologi bukanlah musuh kepada Islam, tetapi alat yang perlu digunakan dengan hikmah.
Namun, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap risiko teknologi jika digunakan tanpa panduan akhlak dan syariat. Ketagihan media sosial, budaya tular (viral) yang negatif, penyebaran bahan lucah, penipuan siber dan pencerobohan maklumat peribadi adalah antara gejala semakin parah. Masyarakat Islam perlu dididik untuk meletakkan batas dan disiplin dalam menggunakan teknologi. Keluarga, guru, ulama dan pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan aktif dalam membimbing umat agar menjadikan dunia digital sebagai jambatan menuju syurga, bukan terjerumus ke lembah maksiat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini termasuk kepemimpinan dalam mengawal diri di alam maya.
Zaman digital bukanlah satu ancaman jika ditangani dengan ilmu, iman dan akhlak. Umat Islam mesti melihat teknologi sebagai satu peluang untuk mengembangkan dakwah, meningkatkan ilmu, memperkukuh ukhuwah dan membina tamadun. Rasulullah SAW dan sahabat dahulu memanfaatkan segala bentuk teknologi yang ada pada zamannya demi mengangkat agama ini ke tempat yang tinggi.
Maka, menjadi tanggungjawab kita hari ini untuk meneruskan kesinambungan itu dengan menjadikan teknologi digital sebagai alat perjuangan Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bersiap sedialah untuk menghadapi mereka (musuh) dengan segala kekuatan yang kamu mampu.” (Surah al-Anfal ayat 60)
Kekuatan pada hari ini termasuk teknologi digital. Gunakanlah ia dengan bijaksana, demi kemuliaan Islam dan kesejahteraan ummah.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd