lizamridzuan@hmetro.com.my
BAGI sesetengah orang, sukan bola sepak hanyalah hiburan hujung minggu, atau sekadar mengikut teman-teman menonton televisyen di restoran.
Namun, buat Mohd Shafiq Abd Karim, 38, ia adalah gaya hidup dan lambang cintakan Malaysia.
Bermula daripada sorakan di Stadium Merdeka sejak era 1990-an, hinggalah ke pentas tertinggi Asia di Qatar, sokongan anak jati Kuala Lumpur ini terhadap Harimau Malaya tidak pernah pudar.
Walaupun perjalanan hidupnya berubah apabila bergelar orang kurang upaya (OKU), dalam setiap langkah, semangat patriotik dan jiwa bola sepak terus menjadi kekuatan untuknya berdiri bersama pasukan kebangsaan, tidak kira di mana mereka beraksi.
“Sokongan terhadap Harimau Malaya bukan sekadar minat bermusim, tetapi sebuah perjalanan hidup yang bermula sejak kecil menjadi titik mula.
“Ketika bola sepak negara masih menjadi sukan utama rakyat, walaupun prestasi pasukan sering turun naik.
“Minat itu semakin berakar apabila Malaysia menjadi tuan rumah Piala Asia 2007 dan ironinya, prestasi hambar skuad negara ketika itu tidak mematahkan semangat saya, sebaliknya menguatkan rasa tanggungjawab untuk terus berdiri bersama pasukan kebangsaan ketika susah dan senang,” katanya.
Segalanya berubah sejak kebangkitan Harimau Malaya menjulang Piala AFF 2010.
Ia menjadi momen yang mengukuhkan kesetiaan Mohd Shafiq dan ia bukan sekadar kemenangan di atas padang, tetapi simbol kebangkitan maruah bola sepak negara yang membuatkannya terus setia hingga ke hari ini.
Kesetiaan itu tidak terhenti di dalam negara, malah Mohd Shafiq antara penyokong tegar yang sanggup merentas sempadan demi menyokong pasukan Malaysia di bumi asing, membawa bersama Jalur Gemilang dan semangat nasionalisme.
“Pengalaman paling sukar dilupakan adalah ketika menyaksikan Harimau Malaya beraksi di Piala Asia 2024 di bumi Qatar kerana ia adalah pentas tertinggi yang pernah dicapai pasukan negara, menjadikan setiap detik di stadium terasa cukup bermakna,” katanya.
Berdepan kerenah penyokong lawan, suasana tegang perlawanan dan sedikit provokasi, pengalaman itu hanya menyemarakkan lagi semangatnya dan bagi Mohd Shafiq, tekanan di tempat lawan adalah sebahagian daripada harga yang perlu dibayar oleh penyokong sejati.
Dalam pengembaraan menyokong bola sepak, Mohd Shafiq turut mengenali dunia dan budaya luar, malah pernah menjejakkan kaki ke kota Naples di Itali.
Katanya, ia cukup meninggalkan kesan mendalam, bukan kerana keindahannya semata-mata, tetapi kerana jiwa bola sepak yang hidup dalam masyarakat kelas pekerja.
“Kisah Diego Armando Maradona bersama kelab bola sepak Napoli membuka mata saya tentang bagaimana bola sepak mampu menyatukan sebuah bandar, mengangkat maruah komuniti yang selama ini dipandang rendah, dan menjadi simbol harapan kepada golongan marhaen,” katanya yang menjalankan perkhidmatan penyelenggaraan peralatan dan aset luar pesisir.
Kata Mohd Shafiq, setiap lorong di Naples yang dipenuhi mural Maradona, termasuk sebuah muzium kecil yang menyimpan sejarah hidup legenda itu, memperlihatkan bagaimana bola sepak boleh membentuk identiti dan budaya sesebuah masyarakat.
Bagi Mohd Shafiq, pengalaman sebegini hanya boleh dirasai apabila penyokong benar-benar menyelami kehidupan tempatan terutama dari makanan, pengangkutan awam hingga perbualan ringkas dengan penduduk setempat.
Namun, perjalanan hidup Mohd Shafiq berubah apabila dia terbabit dalam kemalangan basikal yang menyebabkannya bergelar OKU dan perubahan fizikal itu hadir bersama cabaran baharu dalam meneruskan minatnya.
Antara cabaran terbesar adalah kemudahan yang tidak mesra OKU, termasuk di stadium di Malaysia sendiri, dan buat golongan seperti Mohd Shafiq, isu asas seperti tandas OKU yang sering dikunci mencerminkan keperluan mendesak untuk pengurusan acara sukan yang lebih inklusif.
Walaupun berdepan kekangan, Mohd Shafiq enggan berhenti daripada menyokong kerana bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya, dan sokongan terhadap Harimau Malaya adalah cerminan cintanya kepada Malaysia.
Baginya, siapa lagi yang akan berdiri menyokong pasukan negara jika bukan rakyat sendiri dan kehadiran penyokong Malaysia di tempat lawan bukan sekadar sokongan moral, tetapi satu bentuk patriotisme yang wajar dipupuk.
Di luar negara, layanan terhadap Mohd Shafiq sebagai penyokong OKU sering kali lebih teratur dan beradab malah kepekaan masyarakat terhadap golongan OKU, sama ada di stadium atau pengangkutan awam, memberi satu perspektif baharu tentang empati dan kemanusiaan.
Mohd Shafiq percaya, rakyat Malaysia boleh belajar banyak daripada budaya luar, khususnya semangat kekitaan dan rasa hormat terhadap perbezaan dan bola sepak.
Katanya, sukan, termasuk bola sepak, adalah bahasa universal yang menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang.
Sebagai kesinambungan kepada minatnya, Mohd Shafiq turut menceburi dunia keusahawanan dengan membuka perniagaan pakaian gaya hidup bola sepak yang diinspirasikan daripada budaya bola sepak yang dialaminya ketika berkunjung ke Itali, dikenali sebagai ‘FC Grim’.
Kepada masyarakat, Mohd Shafiq berharap lebih kepekaan diberikan kepada golongan OKU agar mereka tidak tersisih dalam mengejar minat dan kehidupan yang bermakna.
“Kepada insan OKU di luar sana, tiada yang mustahil jika minda sentiasa mahu berubah dan berjaya kerana kekurangan bukan penghalang untuk terus melawan dan melangkah ke hadapan dengan keyakinan serta keikhlasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




