Jadikan iktibar, hati-hati laksana aktiviti luar kampus – Pengerusi MARA

Jadikan iktibar, hati-hati laksana aktiviti luar kampus – Pengerusi MARA

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Majlis Amanah Rakyat (MARA) meminta pelajar di bawah institusi itu mengambil iktibar susulan kemalangan yang berlaku terhadap 15 penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi dan German-Malaysian Institute (GMI) Kajang supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di luar kampus.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya tidak boleh menghalang aktiviti yang di luar waktu akademik, namun menasihatkan pelajar lebih berhati-hati dan mengelakkan diri untuk berkonvoi di sebelah malam dalam keadaan beramai-ramai yang dikhuatiri boleh memudaratkan keselamatan mereka.

“Memang kita tak boleh nak halang (aktiviti) ini (berkonvoi) kerana ia berlaku di luar waktu akademik tetapi mereka harus berhati-hati dan berwaspada.

“Oleh itu, kita minta supaya para pelajar untuk mengutamakan aspek keselamatan dalam melaksanakan apa juga aktiviti program walaupun program terbabit bersifat di luar tanggungan ataupun pemantauan universiti.

“Dalam hal ini (kemalangan) apa yang perlu kita ambil iktibar ialah segala program yang mahu dilakukan mestilah mengambil kira risiko yang ada termasuk bukan sahaja memaklumkan, tetapi mesti melihat soal kesesuaian aktiviti contohnya berkonvoi,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program SALES2U@GIATMARA Pulau Pinang di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, program SALES2U@GIATMARA itu mendedahkan usahawan kepada realiti dunia perniagaan sekali gus memberi ruang untuk melonjakkan jenama dan menggandakan potensi pendapatan.

“Program yang berlangsung selama tiga hari ini turut menjadi medan langsung penyertaan usahawan pelatih dan alumni GIATMARA dalam ekosistem perniagaan sebenar.

“Ia juga membuktikan bahawa tenaga mahir Bumiputera bukan sahaja bersedia untuk bekerja malah berkeupayaan menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top