Jadikan iktibar – Sumali

Jadikan iktibar – Sumali

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekalahan skuad regu negara kepada Myanmar di separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 Selasa lalu bukan penamat segala-galanya, sebaliknya dianggap pengajaran penting menjelang dua lagi kejohanan besar tahun ini.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan percaya pemain negara terutama Farhan Adam, Syahir Rosdi dan Azlan Alias mampu bangkit semula serta kembali mempamerkan prestasi sebenar selepas melalui tempoh sukar sebelum ini.

Menurutnya, beliau sudah mengingatkan pemain supaya melupakan segala kritikan dan kembali memberi fokus kepada corak permainan asal mereka.

“Saya memang yakin mereka akan kembali bangkit. Mungkin sebelum ini ada pemain yang sedikit ‘down’ dan tak beraksi dengan bagus, tapi perlahan-lahan mereka sudah dapat semula rentak permainan terutama ketika acara berpasukan.

“Kita boleh tengok mereka mula dapat momentum dan saya percaya mereka boleh tampil lebih baik selepas ini,” katanya.

Sumali berkata, pengalaman tewas di pentas besar perlu dijadikan iktibar buat semua pemain supaya lebih bersedia dari segi mental dan fizikal apabila beraksi di kejohanan antarabangsa.

Katanya, pemain tidak boleh terlalu cepat hilang keyakinan kerana kesilapan kecil pada awal permainan boleh menjejaskan keseluruhan momentum pasukan.

“Bila dah masuk kejohanan besar, pemain kena bersedia dalam apa jua keadaan. Jangan terlalu ‘down’ atau hilang fokus.

“Kesilapan pada awal permainan banyak mengganggu momentum regu kita ketika menentang Myanmar,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi- Nagoya pula, Sumali menjelaskan barisan pemain sedia ada masih berada dalam perancangan, namun rombakan tetap boleh dilakukan berdasarkan prestasi semasa.

“Kalau perlu kita buat sedikit rombakan, kita akan buat. Tapi saya tengok ketiga-tiga regu kita agak seimbang dan masing-masing ada kekuatan tersendiri.

“Pemain juga boleh bertukar posisi dan kita perlu sentiasa bersedia menggunakan pemain simpanan atau ‘joker’ bila diperlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top