am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis membongkar kegiatan seorang lelaki yang menjadikan tandas di kawasan hutan di Cangkat Bukit Gambir, Gelugor di sini, sebagai tempat pemprosesan heroin dalam satu serbuan, semalam.
Serbuan jam 5 petang oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang turut merampas dadah bernilai RM51,370.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi pemprosesan dadah.
“Turut dirampas kotak kertas berwarna coklat bertulisan ‘Luzhou Laojiao Touqu’ dengan anggaran seberat 5.35 kilogram.
“Hasil risikan mendapati aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah oleh sindiket itu baharu sahaja aktif awal Disember tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 26,755 penagih dadah sekiranya ia berjaya dipasarkan.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati supek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan mendapati suspek mempunyai sebanyak 10 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 8 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Abdul Rozak berkata, polis turut menyita sebuah motosikal mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM54,870.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




