syafil.syazwan@hmetro.com.my
MENGANGGAP fenomena buli siber kini berada pada tahap membimbangkan, pelakon, Datin Intan Najuwa, 28, mengingatkan masyarakat agar lebih berhemah ketika meninggalkan komen.
Katanya, ramai tidak sedar satu tulisan atau hantaran yang dianggap remeh boleh meninggalkan luka mendalam, malah mampu menjejaskan kesihatan mental individu yang menjadi sasaran.
Intan menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum meninggalkan komen negatif di media sosial kerana ia boleh memberi kesan besar terhadap emosi dan kesihatan mental seseorang.
Menurut Intan, fenomena buli siber semakin membimbangkan, malah dilihat semakin berleluasa tanpa kawalan.
“Sangat teruk. Kepada sesiapa yang nak tinggalkan komen negatif, saya rasa perlu lebih berhati-hati. Sekarang ini banyak sangat buli siber dan semua itu akan beri kesan kepada kesihatan mental orang lain sebab kita tak tahu apa yang mereka lalui.
“Masing-masing ada ‘struggle’ sendiri. Jadi, berbuat baiklah sesama sendiri. Tolong berfikir sebelum melontarkan apa-apa komen negatif kerana boleh memberikan kesan terhadap orang lain,” katanya ketika ditemui pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), baru-baru ini.
Mengakui dirinya tidak terlepas menjadi mangsa kecaman, Intan berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak membaca atau melayan komen-komen negatif.
Katanya, tindakan itu penting untuk memastikan dirinya tidak terbeban secara emosi.
“Saya memang dari dulu sudah biasa dan tak baca untuk menjaga kesihatan mental juga. Sebab kita tak boleh nak sekat dan kawal benda-benda negatif atau buruk yang orang nak beri,” katanya.
Lebih menyedihkan, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu turut mendedahkan anak perempuannya, Imane Lunara yang baru berusia lapan bulan, juga menjadi sasaran kata-kata tidak wajar daripada segelintir pengguna media sosial.
“Komen negatif mengenai anak juga banyak. Bukan di komen sahaja tetapi menerusi ruangan mesej juga.
“Tapi saya lebih memilih untuk tidak baca sangat, tak simpan dalam hati sebab mungkin orang tak kenal kita dan boleh cakap macam-macam kan? Saya lebih kenal diri sendiri,” katanya.
Walaupun sering menerima komen berbaur kecaman, Intan mengakui dia lebih selesa memfokuskan kepada kehidupan peribadi dan kerjaya seni berbanding membalas kritikan.
Baginya, memberi respon hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak perdebatan yang tidak sihat. Sebelum ini, Intan pernah berdepan pelbagai tuduhan di media sosial termasuk dikatakan sengaja menayang kemewahan hidup.
Terbaharu, penampilannya di sebuah majlis turut menjadi bahan perbualan apabila warna kulitnya diperkatakan secara negatif. Mengulas perkara itu, Intan berkata, komen sebegitu hanya membuang masa sekiranya diberi perhatian.
“Saya lebih kenal diri sendiri. Orang boleh bercakap apa saja tetapi kita yang tahu siapa kita sebenarnya. Jadi, saya tidak rasa perlu untuk terlalu ambil hati atau memikirkan semua itu,” katanya.
Pada masa sama, Intan berharap orang ramai dapat mengamalkan sikap lebih berhemah ketika berinteraksi di media sosial.
Katanya, setiap individu mempunyai cabaran dan masalah tersendiri yang mungkin tidak dikongsi secara terbuka.
Bagi Intan, menjaga kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Justeru, mengelakkan diri daripada perkara yang boleh menjejaskan emosi adalah langkah terbaik untuk mengekalkan kesejahteraan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd