Jaga emosi isteri

Jaga emosi isteri

asyikin.mat@hmetro.com.my

ADA suami tidak menjaga air muka isteri kerana tergamak memarahi isteri di hadapan orang ramai.

Walaupun isteri tidak melawan perbuatan suami, tetapi kejadian itu meninggalkan parut luka dalam hatinya.

Ini antara kepahitan dalam rumah tangga yang terpaksa wanita pendam walaupun hatinya menderita.

Pegawai Psikologi Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, suami isteri perlu memahami konsep perkahwinan sebagai penyatuan dua jiwa yang berkongsi kehidupan bersama ketika susah atau senang.

Menurutnya, maka dalam penyatuan itu perlu mempunyai rasa kasih dan sayang antara satu sama lain.

“Tetapi apabila suami melakukan perkara tidak elok atau gagal melayani isteri dengan baik termasuk memarahinya di hadapan orang ramai, bermakna ia terpisah daripada realiti atau fitrah perkahwinan itu.

“Secara tidak langsung ini juga menunjukkan suami gagal memainkan peranan sebagai suami dan ketua keluarga yang baik,” katanya.

Katanya, terdapat dua punca menyebabkan suami tergamak memarahi isteri di hadapan orang ramai.

“Pertama kerana ketiadaan kesedaran psikologi terhadap diri sendiri hingga sanggup menjatuhkan air muka isteri di hadapan orang.

“Punca kedua disebabkan suami berkemungkinan mengalami gangguan keperibadian (‘personality disorder’) dan ini menyebabkannya menjadi tidak sensitif terhadap perasaan orang lain, tiada empati termasuk isterinya serta orang di sekelilingnya.

“Ini mendorong suami melakukan apa sahaja tindakan yang dianggap betul berlandaskan emosinya ketika itu,” katanya.

Jelasnya, sifat tidak mengambil kisah dan tidak peduli yang tertanam dalam dirinya juga menyebabkan suami tidak menyedari bahawa tindakan dilakukannya salah hingga memberi kesan emosi kepada orang lain.

“Sebab itu apabila suami berasa marah terhadap isteri, dia (suami) akan melepaskan kemarahan ini di mana-mana sahaja walaupun berada di tempat awam.

“Selain itu, suami yang dominan dalam perkahwinan juga boleh menyebabkan dia melakukan apa sahaja tindakan tanpa memikirkan perasaan isteri,” katanya.

Siti Fatimah berkata, tindakan suami memarahi isteri di hadapan orang ramai boleh dikaitkan dengan sifat panas baran, jika kemarahan itu disertai herdikan sosial dan bertujuan mengaibkan isteri demi ego diri yang tinggi.

“Panas baran ialah satu bentuk ekspresi emosi yang terpendam oleh individu sehingga melepaskan amarah dan sikap agresif tidak terkawal.

Selain itu, panas baran adalah satu bentuk masalah kesihatan mental akibat ketidakupayaan mengawal perasaan marah sehingga bertindak agresif bagi menunjukkan kuasa dominan ke atas individu lain.

“Cara yang betul untuk suami menegur isteri di khalayak ramai adalah mengikut konsep kepimpinan melalui tauladan,” katanya.

Menurutnya, melihat sunnah Rasulullah SAW, isteri adalah pendamping atau hiasan untuk suami.

“Oleh itu, suami bertanggungjawab melindungi isteri dengan memastikan dia berasa selamat, menyediakan tempat tinggal, makan dan minuman mencukupi.

“Isteri adalah tempat mencurahkan kasih sayang, justeru sebaiknya teguran dilakukan secara berhemah dan terhormat,” katanya.

Katanya lagi, suami tidak boleh menegur dengan niat mahu menjatuhkan air muka dan mengaibkan isterinya.

“Suami perlu bijak mengawal emosi dan tidak boleh mempamerkan kemarahan terhadap isteri hadapan orang.

“Sebenarnya suami yang memarahi isteri di hadapan orang ramai hanyalah mengaibkan dirinya sendiri dan menunjukkan sisi buruk mereka kepada umum tanpa disedarinya,” katanya.

Siti Fatimah berkata, antara kesan dialami isteri apabila sering dimarahi suami di hadapan orang ramai ialah mengalami gangguan keperibadian iaitu gangguan keperibadian anti sosial.

“Ini membuatkan isteri trauma dan enggan bertemu orang ramai kerana bimbang kejadian dimarahi suami di hadapan orang ramai berulang.

“Keengganan isteri tidak mahu bertemu orang ramai boleh menyebabkan dia mengalami kemurungan, gangguan keresahan, hilang keyakinan diri dan jati diri.

“Sekiranya tidak dirawat, gangguan keperibadian anti sosial ini boleh menjadi gangguan mental,” katanya.

Jelasnya lagi, isteri tidak berupaya untuk menasihati atau mengubah sikap suami, melainkan jika suami berkongsi masalah dialami dan mempunyai kesedaran ingin berubah.

“Pada masa sama isteri perlu mendapatkan sokongan moral daripada segi mengukuhkan jiwa, menguruskan emosi dan tekanan supaya tidak mengalami gangguan emosi berpanjangan.

“Perkahwinan yang dibina berdasarkan kasih sayang, maka layanan terhadap isteri perlu diberikan seiring dengan tindakan.

“Sekiranya tidak bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk memikul tanggungjawab, adalah lebih baik elak daripada berkahwin bagi mengelakkan penganiayaan terhadap isteri.

“Ini kerana perkahwinan memerlukan persefahaman, tolak ansur dan rasa hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top