Jaga haiwan kesayangan supaya tidak terdedah 'serangan mengejut' cuaca panas

Jaga haiwan kesayangan supaya tidak terdedah 'serangan mengejut' cuaca panas

asmaini@mediaprima.com.my

Cuaca panas melampau yang melanda negara sejak kebelakangan ini bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah turut mengundang risiko besar kepada haiwan peliharaan di rumah.

Kucing, arnab, hamster dan pelbagai haiwan kecil lain antara yang paling terkesan kerana keupayaan mereka menyesuaikan suhu badan adalah terhad.

Justeru, pemilik haiwan perlu lebih peka dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kesayangan mereka terus sihat sepanjang musim panas.

Menurut Doktor Veterinar Klinik haiwan dan Surgeri Darulaman, Alor Setar, Kedah, Dr Siti Maisarah Abd Manan, antara risiko utama yang sering menimpa haiwan akibat cuaca panas berterusan ialah strok haba, satu keadaan serius yang boleh mengancam nyawa.

Selain itu, dehidrasi juga mudah berlaku apabila haiwan kehilangan cecair badan dengan cepat tanpa penggantian yang mencukupi.

“Kes sawan juga boleh terjadi akibat suhu badan yang terlalu tinggi sehingga menjejaskan fungsi otak.

“Pada masa sama, haiwan mungkin mengalami kurang kencing, petanda jelas tubuh mereka kekurangan air dan berada dalam keadaan tidak normal.

“Keadaan-keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada komplikasi lebih serius jika tidak ditangani segera,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Siti Maisarah berkata, pemilik juga perlu mengenali simptom utama strok haba kepada haiwan bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Jelas beliau, antara tanda paling ketara ialah haiwan tercungap-cungap atau bernafas melalui mulut secara berlebihan.

Selain itu, air liur meleleh tanpa kawalan juga adalah petunjuk bahawa haiwan sedang mengalami tekanan haba.

“Badan haiwan yang terasa terlalu panas apabila disentuh turut menjadi tanda amaran awal yang perlu diberi perhatian.

“Dalam situasi lebih kritikal, haiwan boleh mengalami sawan yang memerlukan rawatan segera,” katanya.

Bagi mengelakkan risiko ini, beberapa langkah pencegahan perlu diamalkan oleh pemilik haiwan.

Antaranya ialah memastikan bekalan air sentiasa mencukupi dan menyediakan lebih air daripada kebiasaan.

Haiwan juga tidak seharusnya dikurung di tempat yang tiada pengudaraan kerana ia boleh memerangkap haba.

Dr Siti Maisarah berkata, penggunaan kipas atau penyaman udara membantu dalam mengekalkan suhu persekitaran yang selesa untuk haiwan.

Katanya, bagi haiwan berbulu lebat, pemilik boleh mempertimbangkan proses dandanan seperti ‘lion cut’ atau menipiskan bulu untuk mengurangkan rasa panas.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pemilik supaya mengelakkan membawa haiwan bersiar-siar pada waktu tengah hari ketika suhu berada pada tahap tertinggi.

Tambah Dr Siti Maisarah, amalan menyediakan air secukupnya perlu dijadikan rutin harian tanpa kompromi.

Selain itu, berat badan haiwan perlu dikawal supaya tidak obes kerana haiwan gemuk lebih mudah mengalami strok haba.

“Jika haiwan perlu ditempatkan dalam sangkar, pastikan terdapat kemudahan seperti ‘cooling mat’, kipas atau penyaman udara bagi mengekalkan suhu sesuai.

“Paling penting, jangan sesekali meninggalkan haiwan di dalam kereta walaupun untuk tempoh singkat.

“Sekiranya terdapat tanda strok haba, pemilik perlu bertenang serta segera menghubungi veterinar terdekat demi keselamatan haiwan kesayangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top