harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: ‘Jaga kerja, jaga keluarga,” itu pesanan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain ketika membuat lawatan mengejut di Balai Polis Seremban 2, Negeri Sembilan di sini hari ini.
Dalam video berdasarkan dua minit 10 saat yang dikongsikan menerusi akaun TikTok memaparkan pegawai nombor satu negara itu menyemak buku log dan melawat kawasan sekitar balai berkenaan.
“Seperti yang selalu saya tegaskan, semua pegawai penyelia hendaklah melaksanakan ‘close monitoring’ secara berterusan.
“Ia demi memastikan warga pasukan sentiasa bersemangat untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh berintegriti,” katanya dalam hantaran di TikTok hari ini.
Katanya, beliau hadir membuat lawatan mengejut ke balai berkenaan sebelum menghadiri majlis rasmi di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seremban.
Menurutnya, beliau sempat meninjau fasiliti dan kemudahan awam disediakan buat orang ramai yang berurusan di balai dan turut menyantuni anggota dan pegawai polis di balai terbabit
.
“Alhamdulillah, saya sempat meninjau fasiliti warga Pasukan dan kemudahan untuk orang awam berurusan semasa di IPD berkenaan di samping menyantuni warga pasukan yang bertugas.
“Insya-Allah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa melaksanakan tanggungjawab hisbah yang telah diamanahkan dengan cepat, cekap dan mesra masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




