Jaga saja kain sendiri

Jaga saja kain sendiri

norhayati_nordin@hmetro.com.my

KISAH hangat dalam industri hiburan sepanjang tahun ini sudah tentu membabitkan perceraian pasangan selebriti. Apatah lagi, ada segelintir orang melihat kisah cerai itu sebagai ‘trend’ masa kini.

Apa yang pasti, soal jodoh sukar dijangka kerana bertahan atau gagal rumah tangga dibina bergantung pada takdir ditetapkan Allah. Malah, tiada pasangan berkahwin yang ingin bercerai.

Bagi pasangan pelakon, Adam Lee, 30, dan isteri, Sweet Qismina, 27, mereka enggan masuk campur dan mengulas berhubung isu rumah tangga dialami rakan selebriti.

Sweet atau nama sebenar Farhanna Qismina Supandi berkata, hal membabitkan isu rumah tangga dan perceraian ini agak sensitif untuk dikomen. Apatah lagi, dia pun baru dua tahun berkahwin.

“Saya dan Adam setakat ini lebih selesa untuk kami tidak memberi komen apa-apa mengenai isu perceraian. Bagi kami, ia agak sensitif untuk diulas kerana kita pun tak tahu perkara sebenar.

“Bukan isu ini saja (cerai), tetapi semua cerita yang berlaku dalam industri seni, kami ambil pendirian enggan kongsi atau sokong mana-mana pihak. Kami memilih berdiam diri.

“Sebabnya kami pun ada aib yang kena jaga. Maka dengan itu kami yakin dan percaya ada juga rezeki yang Allah tengah jagakan untuk saya dan Adam. Jadi, tak perlu nak ulas apa-apa,” katanya.

Menurut Sweet, doakan yang baik-baik saja lebih bagus kerana setiap orang sudah tentu ada dugaan kehidupan masing-masing dan tidak perlu orang lain nak masuk campur.

Bagi Adam pula, dia lebih selesa memberi fokus rumah tangga sendiri untuk dijaga dan memperbaiki kekurangan diri ke arah lebih baik.

“Daripada sibuk-sibuk nak masuk campur hal orang lain, lebih baik jaga rumah tangga kami saja. Lagipun usia perkahwinan kami pun masih baharu dan perjalanannya masih jauh.

“Kami juga sebenarnya tidak tahu perhubungan kami ke depan macam mana nanti. Walaupun kami jaga (rumah tangga) dengan sebaik mungkin, tapi semuanya rahsia Allah.

“Cuma apa yang saya boleh cakap ialah apabila bergelar suami orang sekarang ini, saya lebih fokus memperbaiki keperibadian dan mendekatkan diri dengan agama kerana Allah Maha Tahu,” katanya.

Adam dan Sweet yang mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober 2022 bersyukur rezeki mereka dalam karier lakonan masih tidak putus dengan tawaran berlakon diterima sama ada drama dan filem.

Bagi Adam, mereka juga gembira kerana ada produksi yang mengambil mereka berdua bekerja dalam naskhah sama,

sekali gus tidak sukar membentuk keserasian watak dengan mudah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top